comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Rangka kerja baharu pemindahan penyenaraian pasaran Leap ke pasaran ACE diperkenal

Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Malaysia) hari ini mengeluarkan pindaan kepada Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE (ACE LR) berkaitan rangka kerja pemindahan penyenaraian daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE (Rangka Kerja Pemindahan LEAP) yang akan memudahkan syarikat tersenarai di Pasaran LEAP untuk berhijrah ke Pasaran ACE.

Pindaan itu termasuk pengenalan rangka kerja penasihat diluluskan diiktiraf yang akan mengembangkan kumpulan penaja/penasihat dalam Pasaran ACE berkenaan dengan pemindahan penyenaraian dan latihan korporat yang dibenarkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Muhamad Umar Swift berkata Bursa Malaysia berbesar hati memperkenalkan rangka kerja pemindahan baharu ini untuk meningkatkan akses dan daya tarikan pasaran ekuiti Malaysia.

“Bursa Malaysia akan meneruskan usaha untuk memenuhi tujuan kami dengan lebih baik lagi sebagai saluran penting bagi syarikat untuk mengumpul dana. Dengan pindaan ini, kami mengharapkan aktiviti Pasaran LEAP dan ACE yang lebih rancak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pasaran LEAP dilancarkan pada 25 Julai, 2017 sebagai pasaran yang layak dapat diakses hanya kepada pelabur bernilai bersih tinggi.

Sejak penubuhannya, syarikat yang tersenarai di Pasaran LEAP mengumpulkan sejumlah RM231.2 juta menerusi penyenaraian awal.

Setakat 29 Mac, 2023, permodalan pasaran keseluruhan pasaran LEAP berjumlah RM5.5 bilion, dengan 48 syarikat yang disenaraikan di Pasaran LEAP.

Di bawah Rangka Kerja Pemindahan Pasaran LEAP baharu itu, untuk layak melakukan pindahan penyenaraian, sesebuah syarikat senaraian awam (PLC) perlu disenaraikan di Pasaran LEAP bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun, dinilai dan dipertimbang sebagai sesuai bagi penyenaraian di Pasaran ACE menerusi penaja dan melaksanakan terbitan awam saham di Pasaran ACE.

Serentak dengan permohonan pemindahan penyenaraian, pemohon mesti memohon untuk menarik balik penyenaraiannya daripada Pasaran LEAP dan memberikan kepada pemegang sahamnya tawaran keluar, atau mana-mana mekanisme keluar alternatif lain, yang adil bagi mereka.

“Pemohon pemindahan hanya akan dinyahsenarai daripada Pasaran LEAP selepas pemindahan dan penyenaraiannya di Pasaran ACE berjaya,” katanya.

Selain itu, pemohon pemindahan mesti mengekalkan perkhidmatan penaja selama dua tahun kewangan penuh susulan kemasukannya ke Pasaran ACE, atau satu tahun kewangan penuh selepas ia menjana hasil operasi, yang mana terkemudian.

ACE LR yang dipertingkatkan itu juga membolehkan Penasihat Diluluskan yang layak memainkan peranan dalam Pasaran ACE menurut Rangka Kerja Penasihat Diluluskan Diiktiraf yang baru diperkenalkan.

Penasihat Diluluskan yang telah melengkapkan tiga penyenaraian awal di Pasaran LEAP dengan sekurang-kurangnya seorang Orang Berkelayakan boleh mendapatkan kelulusan bursa untuk bertindak sebagai Penasihat Diluluskan Diiktiraf.

Penasihat Diluluskan Diiktiraf boleh bertindak sebagai penasihat dalam permohonan pemindahan penyenaraian secara bersama dengan penaja, untuk pemohon pemindahan yang telah bertindak sama ada sebagai penasihat penyenaraian atau penasihat berterusan di Pasaran LEAP.

Penasihat Diluluskan Diiktiraf juga boleh bertindak sebagai penaja gantian, atau bertindak sebagai penasihat bagi cadangan korporat tertentu yang ditetapkan, iaitu terbitan bonus, tawaran saham persendirian yang dibuat di bawah mandat am dan skim pelaburan semula dividen, bagi pemohon pemindahan.

Ketua pegawai kawal selia Bursa Malaysia Julian Hashim berkata pindaan ini akan membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapat akses yang lebih besar ke pasaran modal dan menyediakan pelan hala tuju yang lebih jelas bagi membantu syarikat LEAP menyasar disenaraikan di Pasaran ACE. — BERNAMA

Loading...
Terkini