comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit berpotensi mengukuh, dapat manfaat pengurangan kadar AS – BNM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit mempunyai potensi nyata untuk menambah nilai dan menjadi antara mata wang yang akan mendapat manfaat besar daripada pengurangan kadar Amerika Syarikat (AS) memandangkan pergerakan yang berlebihan semasa kitaran kenaikan kadar, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu dalam satu kenyataan berkata, Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) yang mengadakan mesyuarat semalam bersetuju bahawa ringgit tidak mencerminkan asas makroekonomi Malaysia yang utuh seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh dan inflasi yang sederhana.

“Kami juga mengambil maklum bahawa sentimen asing kekal positif dan semakin bertambah baik berikutan usaha libat urus bersama pelabur secara kolektif oleh kerajaan, BNM dan peserta industri,” katanya.

BNM berkata, mesyuarat FMC optimis terhadap prospek jangka pendek ringgit, meskipun rintangan masih wujud, termasuk risiko geopolitik, ketidakpastian berhubung dengan trajektori kenaikan kadar AS serta pengaturan masa dan tahap selanjutnya bagi rasionalisasi subsidi domestik.

“Ahli mesyuarat yakin bahawa kestabilan pasaran domestik yang berterusan dan usaha terselaras oleh semua pihak yang terbabit akan akhirnya memperkukuh prestasi ringgit.

“Mesyuarat mengambil maklum bahawa median unjuran Bloomberg terkini bagi dolar AS/ringgit adalah pada 4.65 untuk akhir 2024 dan 4.45 untuk akhir tahun 2025,” katanya.

Dolar AS secara amnya kukuh baru-baru ini apabila peserta pasaran menyesuaikan jangkaan mereka berhubung dengan pengurangan kadar Rizab Persekutuan (Fed) AS daripada enam kali pada awal tahun ini kepada hanya satu atau dua kali untuk tahun ini.

“Tindakan ini telah menyumbang kepada ketidaktentuan dalam pasaran. Meskipun menjangkakan hanya ada satu atau dua pengurangan kadar Fed pada 2024, mesyuarat mengambil maklum bahawa ringgit terus berdaya tahan dan hanya menurun nilai sebanyak 2.6 peratus berbanding dolar AS sejak awal tahun sehingga kini.

“Ringgit berada pada tempat ketiga dalam kalangan 10 mata wang serantau,” kata BNM.Ringgit menjadi satu-satunya mata wang serantau yang menambah nilai berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), mengukuh sebanyak 1.3 peratus sejak 26 Februari lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini