comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis berikutan dolar AS kekal kukuh sementara peserta pasaran tempatan menunggu pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kadar dasar semalaman (OPR) hari ini, kata penganalisis.

Pada 9.01 pagi, ringgit susut kepada 4.7445/7470 berbanding dolar AS daripada 4.7390/7440 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) terus meningkat kepada 105.546 mata, naik 0.1 peratus.

“Dalam situasi ketiadaan data penting untuk menjangkakan pengurangan ekonomi dari segi arah hala tuju kadar faedah akan bergerak, ulasan daripada pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menjadi petunjuk utama dan setakat ini Fed konsisten dalam kenyataannya bahawa inflasi masih kekal menjadi perhatian.

“Kenyataan Presiden Fed Boston Susan Collins menandakan kadar faedah mungkin perlu kekal tinggi untuk tempoh yang berlarutan bagi mengekang permintaan dan menurunkan tekanan harga,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata justeru, ringgit berkemungkinan kekal lemah dengan bacaan teknikal menghampiri kedudukan terlebih beli.

“Tumpuan hari ini kepada keputusan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM. Semua pakar ekonomi menjangkakan OPR kekal tidak berubah pada 3.00 peratus.

“Menarik untuk melihat penilaian terbaru BNM mengenai inflasi susulan perubahan dasar baru-baru ini iaitu pengeluaran fleksibel untuk dana persaraan dan pelarasan gaji bagi kalangan penjawat awam,” katanya.

Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini