comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding dolar AS pada sesi awal dagangan pagi ini meskipun data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang dikeluarkan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) bercampur-campur.

Pada 9.05 pagi, ringgit meningkat kepada 4.6775/6795 berbanding dolar AS daripada 4.6830/6875 pada penutup Jumaat lepas.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata PMI Komposit EU lebih tinggi pada November 2023, meningkat 47.1 mata daripada 46.5 mata sebelumnya.

Di AS, PMI pula kekal pada 50.7 mata pada Nov 2023 disokong oleh peningkatan dalam sektor perkhidmatan, diikuti dengan sektor pembuatan.

“Walaupun indeks kelihatan semakin bertambah baik, kebanyakan tinjauan menunjukkan bahawa firma mengurangkan jumlah pekerja mereka untuk meminimumkan kos overhed,” katanya kepada Bernama.

Bagi Malaysia, Mohd Afzanizam berkata indeks harga pengguna (CPI) terkini menyederhana kepada 1.8 peratus tahun ke tahun menunjukkan kadar faedah sebenar telah meningkat daripada hanya 0.2 peratus pada Mei 2023 kepada 1.2 peratus pada Oktober 2023 .

Oleh itu, dasar monetari menjadi terhad secara beransur-ansur, membayangkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) selanjutnya adalah tidak wajar, katanya.

“Memandangkan ini, ringgit berbanding dolar AS diunjur berada dalam julat RM4.67 hingga RM4.69 hari ini,” katanya.

Loading...
Terkini