comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit mampu kukuh, cecah RM4.30 berbanding dolar AS akhir tahun ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit diunjur mengukuh pada paras RM4.30 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini ketika pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) dikatakan telah mengakhiri kitaran dasar monetarinya yang ketat, kata MIDF Research.

Dalam nota tinjauannya hari ini, cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu berkata ini juga seiring dengan jangkaannya bahawa mata wang negara-negara sedang pesat membangun akan mengukuh apabila kadar faedah AS menghampiri paras kemuncaknya yang akan disusuli dengan kemasukan semula aliran dana ke pasaran berisiko.

“Seiring dengan kadar dasar semalaman (OPR) yang dikekalkan pada 3.00 peratus dalam tempoh memasuki 2024, kami menjangkakan ringgit akan turut mendapat manfaat berikutan tiada kenaikan perbezaan Kadar Dana Persekutuan (FFR) dan OPR.

“Asas-asas ekonomi pula secara amnya kekal menyokong ringgit dalam senario ekonomi domestik yang berdaya tahan dan inflasi yang terkawal,” katanya.

Faktor lain adalah petunjuk yang mencerminkan pemulihan berterusan di China serta peningkatan eksport elektrikal dan elektronik (E&E), juga menandakan prestasi perdagangan luar yang lebih positif dalam bulan-bulan akan datang.

Selain itu, kenaikan harga komoditi global akan turut memberi manfaat kepada ringgit berikutan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih komoditi.

“Walaupun kami optimis terhadap pengukuhan ringgit menjelang akhir tahun ini, masih terdapat kecenderungan penurunan yang mengekang kenaikan lanjut unit tempatan itu.

“Sebagai contoh, ketiadaan penangguhan kenaikan kadar faedah yang jelas oleh pihak Fed, kenaikan seterusnya hasil Perbendaharaan AS dan krisis geopolitik di Timur Tengah yang terus meruncing akan hanya meningkatkan lagi sokongan terhadap dolar AS,” katanya.

Mengulas prestasi ringgit, MIDF Research mengunjurkan mata wang itu mencecah paras terendahnya pada Oktober 2023 apabila mengakhiri bulan berkenaan dengan susut 1.4 peratus bulan ke bulan pada paras RM4.764 berikutan pengukuhan dolar AS.

Loading...
Terkini