comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Sapura Energy, syarikat Norway lancar Kitar Solutions

KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) melancarkan Kitar Solutions, perkongsian strategik bersama AF Offshore Decom, langkah strategik menangani keperluan pasaran yang semakin meningkat bagi perkhidmatan penyahtauliahan bersepadu di Asia Tenggara serta menangani agenda peralihan tenaga negara.

Digabungkan dengan aset strategik dan limbungan fabrikasi Sapura Energy di Lumut, Perak, Kitar Solutins menyasarkan untuk memudahkan proses penyahtauliahan melalui perkhidmatan Kejuruteraan, Penyediaan, Pembuangan dan Pelupusan bersepadu (EPRD).

Menurut Sapura Energy, pengenalan Kitar Solutions menandakan satu langkah penting dalam pengembangan portfolio penyahaktifan segmen perniagaan Kejuruteraan dan Pembinaan (E&C) kumpulan, mencerminkan matlamat syarikat untuk menyumbang ke arah ekonomi di rantau ini.

“Melalui Kitar Solutions, Sapura Energy dan AF Offshore Decom yang juga sebuah syarikat berpangkalan di Norway yang mengkhusus dalam penyelesaian penyahtauliahan tersuai di Laut Utara, kami memiliki rancangan untuk menambah baik kemudahan sedia ada di limbungan fabrikasi Sapura Energy di Lumut, sejajar dengan matlamatnya untuk memenuhi piawaian alam sekitar tertinggi dalam pengurusan sisa dan kitar semula,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Datuk Mohd Anuar Taib berkata, kumpulan itu komited untuk memenuhi masa depan tenaga rendah karbon melalui kerjasama dan berkongsi kepakaran teknikal dengan pemegang kepentingan utama.

“Kami akan memainkan peranan ke arah masa depan yang lebih mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.

AF Offshore Decom membawakan pengalaman pelaksanaan penyahtauliahan selama 20 tahun kepada perkongsian, dengan pangkalan pelanggan, selain memiliki dan mengendalikan kemudahan penyahtauliahan Vats di Norway.

Loading...
Terkini