comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Sapura, Rafizi rekod perintah persetujuan berhubung dokumen gaji dan elaun bekas CEO

KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd bersetuju mengemukakan kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dokumen berhubung gaji dan elaun yang dibayar kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Shahril Shamsuddin.

Ia adalah berkaitan saman yang difailkan Shahril terhadap Rafizi di Mahkamah Sesyen pada Mei tahun lalu berikutan kenyataan Ahli Parlimen Pandan itu dalam tiga artikel yang disiarkan di akaun media sosialnya di antara 31 Mac hingga 4 April tahun lalu.

Peguam Rafizi, Navpreet Singh dipetik sebagai berkata peguam kedua-dua belah pihak merekodkan perintah persetujuan berhubung perkara itu mengikut terma yang dipersetujui Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad dalam prosiding mahkamah yang dijalankan secara dalam talian hari ini.

Berikutan persetujuan itu, Nik Hasmat turut memerintahkan agar tarikh 5 Ogos depan untuk mendengar rayuan itu dikosongkan.

Tarikh pengurusan kes itu yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen pada 19 Ogos ini kekal.

Shahril memfailkan saman itu atas dakwaan kononnya Rafizi telah memfitnahnya berhubung imbuhan yang diterima beliau. Rafizi mendakwa pemegang saham Sapura Energy yang diketuai Shahril memperolehi sejumlah RM1.33 bilion terdiri daripada RM1.1 bilion gaji dan selebihnya dalam pembayaran dan dividen lain.

Rafizi juga mendakwa pemegang saham utama Sapura Energy menerima tiga kali ganda jumlah RM440 juta yang dibayar syarikat itu kepada baki pemegang sahamnya dalam bentuk dividen.

Shahril menafikan kesemua tuduhan itu.

Menurut peguamnya, umum mengetahui bahawa jumlah imbuhan yang diterima beliau antara 2013 dan 2021 adalah RM486.25 juta.

Loading...
Terkini