comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

SC bakal perkenal panduan Maqasid al-Syariah

Awang Adek (tengah) merasmikan Persidangan Merapatkan Jurang Bakat Industri-Universiti untuk Membentuk Semula Pasaran dan Kewangan di Kuala Lumpur, hari ini

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bercadang untuk melancarkan panduan berasaskan prinsip pematuhan Maqasid al-Syariah sebelum akhir tahun ini bagi memenuhi permintaan meningkat terhadap produk patuh Syariah.

Prinsip panduan yang berfokus kepada Maqasid al-Syariah itu meliputi kewangan sosial, pelaburan impak, Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) serta pengurusan dana dan kekayaan Islam.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin, berkata pelancaran panduan itu kemungkinan adalah yang pertama seumpamanya di dunia.

Beliau berkata, panduan berkenaan akan memberi pilihan kepada pelabur di seluruh dunia untuk melabur bukan saja dalam produk patuh Syariah di Malaysia, tetapi juga sejajar dengan Maqasid al-Syariah.

“Memandangkan perintis dan inovatif dalam campur tangan peraturan dan rangka kerja kawal selia kewangan Islam, Malaysia adalah peneraju global yang telah lama bertapak. Kita mesti memanfaatkan kepimpinan pemikiran, melangkaui sempadan dan terus meluaskan spektrum produk tradisional dan alternatif.

“Ini bermakna membolehkan produk dan hasil yang bukan sekadar patuh Syariah, tetapi sejajar dengan prinsip Maqasid al-Shariah yang lebih luas, untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk Islam yang lebih berprestij,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Merapatkan Jurang Bakat Industri-Universiti untuk Membentuk Semula Pasaran dan Kewangan anjuran Institut Penyelidikan Pasaran Modal (ICMR) dengan kerjasama Securities Industry Development Corporation (SIDC) di sini, hari ini.

Awang Adek berkata, Malaysia juga mesti mengembangkan produk Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan pembiayaan kemampanan untuk menarik pelabur yang mengutamakan ESG.

Malah, beliau berkata, Malaysia mendahului banyak rakan serantau dari segi pendedahan kemampanan oleh syarikat senaraian awam (PLC).

Loading...
Terkini