comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

SME BANK perkasa perusahaan sosial, pacu ESG dalam kalangan PMKS 

FOTO hiasan

KUALA LUMPUR: SME Bank akan memperkasa perusahaan sosial dan kemampanan perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan tiga program baharu berjumlah RM31 juta susulan pengumuman Belanjawan 2023 Membangun Malaysia MADANI.

Dalam belanjawan tersebut, kerajaan mengumumkan semula sejumlah RM1.34 bilion bagi kemudahan pembiayaan sedia ada dan tambahan RM9 juta untuk program usahawan semasa di bawah SME Bank.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Dr Aria Putera Ismail berkata bank itu menyambut baik peruntukan kerajaan untuk sektor PMKS.

Malah, katanya, ini juga selaras dengan fokus perniagaan SME Bank bagi memperkasa perusahaan sosial dan menggunapakai Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam kalangan PMKS bagi tahun ini.

“Sebanyak RM20 juta diperuntukan di bawah Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial bagi membangun dan memperkukuh perusahaan sosial, untuk modal kerja dan pembelian aset.

“Sejumlah RM1 juta disediakan di bawah Skim Juara Lestari iaitu program pembangunan kapasiti untuk menambah bilangan perusahaan sosial yang diakreditasi melalui anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain perusahaan sosial, Aria Putera berkata SME Bank turut memberi tumpuan bagi memudahkan usaha guna pakai prinsip ESG dalam kalangan usahawan PMKS melalui Skim Insentif Kelestarian bernilai
RM10 juta.

“Ini selaras dengan agenda kemampanan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 ke arah ekonomi rendah karbon dan membangunkan persekitaran perniagaan yang mampan,” katanya.

Skim Insentif Kelestarian merupakan program intervensi berstruktur dengan geran untuk menyokong usahawan menggunapakai ESG dalam operasi perniagaan mereka.

Selain itu, Aria Putera berkata enam daripada kemudahan pembiayaan sedia ada SME Bank turut diumumkan semula bagi membolehkan pihak bank terus menawarkan program pembiayaan holistik kepada PMKS.

Ini termasuk Jaguh Serantau (RM165 juta); Dana Kemampanan PMKS Bumiputera (Pembiayaan Lestari Bumi) (RM160 juta); Dana Pemantapan Automasi (Geran Padanan PEMERKASA) sebanyak RM160 juta; Dana Pemangkin Ekosistem IBS (IBS2.0) (RM165 juta), Dana Pemberdayaan Usahawan Muda (YEF 2.0) (RM90 juta) dan SME Recapitalisation Fund (RM600 juta).

Bank itu akan terus menawarkan kemudahan pembiayaan yang diumumkan semula di bawah Belanjawan 2023 kepada usahawan yang layak.

Selain itu, SME Bank turut memperoleh dana tambahan bagi inisiatif melangkaui pembiayaan sedia ada sebanyak RM4 juta untuk Business Export Program bagi memperkasa PMKS Bumiputera merentasi sempadan dan RM5 juta untuk Program Pembangunan Kapasiti Vendor (PPKV2.0) dalam menyokong vendor untuk lebih kompetitif, mampan dan berdaya tahan.

Belanjawan 2023 merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah dengan jumlah peruntukan RM388.1 bilion untuk memajukan rakyat, PMKS, inisiatif hijau dan kemajuan teknologi digital. — BERNAMA

Loading...
Terkini