comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Status quo enam negeri melegakan pasaran saham

KUALA LUMPUR: Tamatnya ketidaktentuan politik selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) berakhir Sabtu lalu adalah petanda baik kepada pasaran saham, demikian menurut penganalisis.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Alexander Chia, berkata senario enam negeri yang menghadapi PRN kekal dengan status quo membolehkan pelabur pasaran modal memberi tumpuan semula kepada asas pelaburan mereka.

“Sejajar dengan senario kes asas kami, enam pilihan raya negeri melabuhkan tirai pada hujung minggu lalu dan menyaksikan status quo dikekalkan apabila gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) membentuk kerajaan di negeri pantai barat iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Dengan ‘Gelombang Hijau’ yang disangka berlaku hanyalah sekadar riak-riak kecil, kami percaya pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki banyak kesempatan untuk melaksanakan agenda reformasi yang dijanjikan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Gabungan PH-BN berjaya mengekalkan kuasa di tiga negeri, manakala Perikatan Nasional (PN) mengekalkan penguasaan di tiga lagi negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Chia berkata, keputusan PRN yang sudahpun diperoleh memberi gambaran politik dan makroekonomi yang lebih jelas, sekali gus bakal menjadi faktor penggalak kepada pasaran saham selari dengan pandangan bank pelaburan itu.

“Akan tetapi, risiko utama yang membataskan peluang untuk ekuiti termasuklah perolehan syarikat yang rendah, nilai mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) lemah dan rentak pemulihan ekonomi yang suram di China.

“Asas pelaburan yang kukuh menjadi pertimbangan penting untuk pelaburan dan kelemahan pasaran harus dilihat sebagai peluang untuk menggunakan simpanan tunai bagi meningkatkan kedudukan saham dengan mengambil peluang sementara keadaan Bursa Malaysia sedang lemah.

“Kami mengesyorkan saranan ‘wajaran tinggi terhadap sektor perbankan, minyak & gas (O&G), utiliti, bahan asas, institusi kewangan bukan bank (NBFI), penjagaan kesihatan dan hartanah. Tiada perubahan dibuat pada sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) untuk akhir 2023 sebanyak 1,500 mata buat masa ini,” katanya.

Chia berkata, walaupun keputusan keseluruhan PRN menepati jangkaan, PH-BN mengekalkan pemerintahan di negeri pantai barat dengan majoriti yang mengecil apabila dua pertiga majoriti hilang di Selangor, PN menembusi lebih banyak kerusi di kawasan bandar dan mengukuhkan pengaruhnya di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Malah, katanya perkara itu turut menjejaskan kedudukan UMNO yang menang hanya 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dan ditewaskan sepenuhnya di Terengganu dan Kedah sekali gus menyaksikan kredibiliti kepimpinan UMNO bakal dipersoalkan dengan sebarang perubahan akan memberi kesan terhadap kestabilan pakatan Kerajaan Perpaduan.

Loading...
Terkini