comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Perniagaan rugi lebih RM1 bilion akibat cuti khas PRN

Lima negeri mengumumkan cuti khas sempena PRN. Foto – NSTP

KUALA LUMPUR: Perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dianggarkan mengalami kerugian melebihi RM1 bilion susulan pelaksanaan cuti umum khas di lima daripada enam negeri yang terbabit Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Kecil Dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia), Chin Chee Seong, berkata dari perspektif industri, pihaknya sentiasa menentang dan tidak mengalu-alukan pelaksanaan cuti umum tambahan sebegitu kerana perniagaan dalam semua sektor pastinya akan terganggu.

Justeru, katanya, SME Malaysia menggesa kerajaan serius mempertimbangkan untuk tidak melaksanakan pengumuman cuti sedemikian dengan kerap, memandangkan bilangan hari pelepasan am di Malaysia sudah tinggi.

“Dengan perkara ini (cuti mengejut), ia bukan sahaja akan menjejaskan hasil PKS kami tetapi juga memperlahankan pemulihan perniagaan pasca COVID-19.

“Jika cuti mengejut seluruh negara diumumkan, kami menjangkakan bahawa ia akan menyebabkan kerugian sekurang-kurangnya RM3 bilion sehari. Bagi lima negeri PRN, kami anggarkan melebihi RM1 bilion sehari.

“Satu lagi perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah apabila cuti diumumkan di Malaysia, penghantaran logistik dan pengangkutan untuk seluruh negara juga akan terjejas oleh kesesakan trafik di lebuh raya. Kami berharap ini bukan sesuatu yang akan terus diamalkan oleh kerajaan berulang kali, bahkan ia tidak wajar dilakukan pada saat-saat akhir,” katanya kepada BH.

Kedah, Kelantan dan Terengganu mengumumkan cuti umum pada Ahad, disusuli dengan Negeri Sembilan dan Selangor hari ini.

Hanya Pulau Pinang yang tidak mengisytiharkan cuti umum sempena PRN kali ini.

Sementara itu, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) mengulangi gesaannya kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri agar lebih berhati-hati dan tidak cenderung dalam mengisytiharkan cuti mengejut termasuk perayaan kemenangan sama ada untuk pilihan raya atau acara sukan kerana sangat mengganggu operasi perniagaan.

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata pengisytiharan cuti am atau cuti peristiwa yang tidak dirancang tidak memberi sebarang manfaat secara langsung kepada perniagaan dan amat mengganggu operasi, rantaian bekalan serta menyebabkan kerugian produktiviti kepada perniagaan.

“Ini terutamanya apabila kebanyakan sektor ekonomi pada masa ini menghadapi keadaan perniagaan dan ekonomi yang sangat mencabar.

Pengisytiharan cuti am atau peristiwa yang tidak dirancang sebegini pastinya menambah kos menjalankan perniagaan yang sudah sedia tinggi untuk kebanyakan industri,” katanya.

Mengulas lanjut, Thian Lai berkata cuti umum mengejut bagi seluruh Malaysia dianggarkan memberi kerugian langsung dan tidak langsung kepada semua majikan sehingga RM3 bilion sehari.

Loading...
Terkini