comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Subsidi bersasar dilaksana tahun depan, jangkaan peningkatan harga minyak 2024

(Tengah) Rafizi pada majlis pelancaran laporan Bank Dunia, Malaysia Economic Monitor Ke-28 hari ini.

Oleh Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan sistem subsidi bersasar tahun depan yang akan membantu membuka ruang fiskal, pada masa sama mengurangkan kemiskinan dan ketidaksamaan.

Rasionalisasi subsidi bersasar bahan api juga perlu digerakkan segera berikutan jangkaan peningkatan harga minyak dunia pada 2024.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata walaupun dengan harga minyak dunia pada purata AS$80 setong, ia memperuntuk sekitar RM50 bilion untuk subsidi. Untuk itu, jika harga minyak meningkat kepada AS$100, bil subsidi akan lebih tinggi.

Malah, jika ditambah dengan ketirisan diesel dan RON95, bil subsidi kerajaan akan terus melonjak di bawah subsidi pukal.

“Selagi ada subsidi pukal, terdapat ketirisan penggunaan. Saya bercakap tentang diesel bagaimana terdapat ketirisan penggunaan diesel daripada industri. RON95 juga ada orang yang sepatutnya memandu menggunakan RON97 tetapi menggunakan RON95.

“Jadi dengan harga minyak mentah yang lebih tinggi, bil subsidi akan lebih tinggi dan ia akan ditambah dengan ketirisan dalam penggunaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor Ke-28 “Raising the tide, lifting all boats” oleh Bank Dunia, hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara hari ini melaporkan Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan subsidi berjumlah RM55.4 bilion pada 2022, peningkatan 322.1 peratus atau RM42.3 bilion daripada RM13.1 bilion pada 2021.

Subsidi bagi produk petroleum merekodkan peruntukan tertinggi sebanyak RM45.1 bilion atau 81.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan.

Pelbagai model subsidi bersasar telah disediakan Kementerian Ekonomi, bagaimanapun keputusan akan dimuktamadkan Jemaah Menteri.

Model yang dibuat berlandaskan imbangan antara mencapai matlamat untuk mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan, pada masa sama memastikan peruntukan bantuan diberikan sebaiknya kepada kumpulan sasar.

Bank Dunia mendapati pengalihan item subsidi yang tinggi kepada bantuan sosial akan mengurangkan kemiskinan sebanyak 2.0 mata kepada 5.6 mata.

Malah, pemindahan secara langsung juga dijangka mencatat empat kali lebih kos efektif untuk mengurangkan ketidaksamaan berbanding subsidi.

Loading...
Terkini