comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Syarikat minyak, gas untung harga minyak kekal tinggi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sektor minyak dan gas (O&G) dijangka meraih manfaat daripada persekitaran operasi menggalakkan disokong jangkaan harga minyak mentah kekal tinggi dalam tempoh sederhanaantara AS$80 hingga AS$90 setong.

HLIB Research dalam nota penyelidikan berkata, firma penyelidik itu mengekalkan saranan ‘wajaran tinggi’ ke atas industri O&G dan menyemak semula unjuran harga minyak mentah Brent kepada AS$85 setong tahun depan dan AS$80 setong pada 2025.

“Pilihan utama HLIB Research untuk saham peserta O&G dengan saranan ‘beli’ ke atas saham Bumi Armada Bhd, Hibiscus Petroleum Bhd, dan Wasco Bhd,” katanya.

HLIB Research berkata, pengeluaran minyak mentah Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) telah menurun sebanyak dua juta tong sehari (mbpd) dari Oktober 2022 hingga Julai 2023, mencecah 27 mbpd berikutan beberapa langkah pengurangan pengeluaran.

“Kami percaya OPEC+ (OPEC dan negara pengeluaran lain) tidak akan meningkatkan pengeluaran dalam masa terdekat walaupun memiliki kapasiti gantian sebanyak 5.0 mbpd, yang mana boleh menurunkan harga disebabkan prospek ekonomi lemah, kadar faedah tinggi.

“Harga minyak yang lebih tinggi akan meningkatkan pendapatan O&G Arab Saudi dan Russia pada masa hadapan,” katanya.

Dengan konflik geopolitik semasa antara Israel-Hamas, HLIB menjangkakan bahawa ketegangan itu boleh meningkatkan premium risiko minyak.

Mengulas mengenai pengeluaran minyak mentah AS, firma penyelidikan itu percaya pertumbuhan pengeluaran minyak di negara itu akan mencapai hadnya dalam beberapa tahun akan datang selepas pengeluaran di Lembangan Permian dijangka mula merosot.

“Ini disebabkan terutamanya oleh kawasan produktif yang telah digerudi, syarikat utama minyak telah berjanji untuk mengurangkan perbelanjaan mereka untuk fracking, dan telaga minyak syal mempunyai kadar penurunan yang tinggi,” katanya.

Memandangkan perbezaan dalam unjuran permintaan minyak untuk 2024 antara OPEC (2.44 mbpd tahun ke tahun) dan Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS (1.32 mbpd tahun ke tahun), HLIB berkata, jangkaan ekonomi China semakin teruk mungkin menjadi kunci utama risiko penurunan permintaan minyak global.

Loading...
Terkini