comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Tak cadang laksana semula GST, cukai berasas luas lebih bebankan rakyat – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), mengambil kira keadaan rakyat yang sedang berdepan cabaran kos hidup yang tinggi, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, pelaksanaan GST hanya akan membebankan lagi rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah.

“Kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan semula GST kerana ia cukai penggunaan yang berasas luas dan dengan itu, bukan masa sesuai untuk melaksanakannya.

“Ini memandangkan rakyat terutama berpendapatan rendah sedang menghadapi cabaran kos hidup. Walaupun kadar inflasi 2023 secara purata adalah 2.5 peratus, tetapi bagi makanan dan minuman cukai hampir lima peratus.

“Kategori ini yang lebih dirasai rakyat jelata dan ini adalah antara faktor dikekalkan kadar cukai makanan sebanyak enam peratus,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukti Gantang) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang melaksanakan semula percukaian GST.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, bagi memastikan rakyat terutama golongan rentan tidak terbeban, kerajaan akan memberi tumpuan kepada menambah baik sistem cukai sedia ada.

“Selain itu, kerajaan mengambil langkah memperkenalkan percukaian yang tidak memberi kesan kepada golongan rentan sebelum memperkenalkan percukaian penggunaan baharu seperti cukai barangan dan perkhidmatan GST.

“Jadi inilah pendekatan yang diambil kerajaan bagi meningkatkan hasil negara. Ia dibuat secara berperingkat dengan meluaskan asas cukai kepada mereka yang mempunyai lebih kemampuan terlebih dahulu.

“Sebagai contoh, walaupun kadar cukai perkhidmatan telah meningkat daripada enam ke lapan peratus , cukai untuk bil elektrik hanya diperuntukkan ke atas pengguna domestik melebihi 600 kilowatt sejam, iaitu golongan 15 peratus pengguna terbesar. Sementara baki 85 peratus pengguna, tidak dikenakan cukai bagi bil elektrik,” katanya.

Beliau turut memberitahu, atas dasar keprihatinan kerajaan, cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan air juga dikecualikan daripada cukai perkhidmatan.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai kesediaan kerajaan memperkenalkan lebih banyak alternatif percukaian progresif sebelum melaksanakan semula GST, beliau berkata, tumpuan semasa adalah melaksanakan reformasi cukai secara progresif.

Jelasnya, ia adalah kaedah terbaik bagi mengurangkan impak terutama mengelakkan rakyat daripada terbeban dengan kos hidup yang tinggi.

“Dalam menimbang soal cukai, kerajaan memastikan akan terus melindungi kepentingan rakyat pada setiap masa dan pada masa sama, meningkatkan penguatkuasaan serta pemantauan ke atas pengusaha yang mengambil kesempatan menaikkan harga perkhidmatan secara berlebihan, lebih-lebih lagi mereka yang tak terbabit dengan kenaikan,” katanya.

Jelasnya, kerajaan juga tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya ada peniaga menaikkan harga secara tidak munasabah dan melanggar perundangan berkaitan pencatutan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini