comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Terma perdagangan Malaysia meningkat 0.6 peratus pada Mac 2023

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Terma perdagangan Malaysia meningkat 0.6 peratus bulan ke bulan kepada 110.3 mata pada Mac 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) hari ini.

Dalam satu kenyataan, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu didorong oleh kenaikan dalam indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (1.0 peratus), bahan kimia (0.8 peratus) dan makanan (0.6 peratus).

Bagaimanapun, beliau menambah terma perdagangan Malaysia menyusut 1.9 peratus tahun ke tahun daripada 112.4 mata pada Mac 2022.

Mohd Uzir berkata indeks nilai seunit eksport negara merekodkan peningkatan 1.0 peratus daripada 141.4 mata pada bulan sebelumnya kepada 142.6 mata pada Mac 2023.

Menurutnya, peningkatan itu disumbangkan oleh pengukuhan dalam indeks minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (3.2 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (1.5 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (0.8 peratus).

“Selain itu, indeks volum eksport meningkat 14.4 peratus pada bulan yang sama, selaras dengan kenaikan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (31.7 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (23.8 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (14.3 peratus).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim turun 1.4 peratus daripada 167.4 mata kepada 165.2 mata.

“Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit eksport kekal positif 0.7 peratus manakala indeks volum menurun 2.1 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata indeks nilai seunit import kekal mengembang pada Mac 2023 dengan 0.4 peratus daripada 128.7 mata kepada 129.2 mata, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (3.0 peratus), makanan (0.5 peratus) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (0.49 peratus).

Beliau menambah indeks volum import menunjukkan trend positif 10.7 peratus pada Mac 2023 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh peningkatan indeks pelbagai barang keluaran kilang (27.5 peratus), barang-barang keluaran kilang (25.9 peratus) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (16.5 peratus).

Loading...
Terkini