comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Tiada keperluan masukkan tender terbuka dalam Akta Tanggungjawab Fiskal

Oleh: Juliana Sharin & Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Urusan berkaitan tender terbuka akan dimasukkan dalam penggubalan Akta Perolehan Kerajaan (GPA), yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat suku kedua 2024.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada keperluan untuk ianya tersenarai dalam Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), yang diluluskan Parlimen hari ini.

“Jadi apabila disebut tentang LCS dan sebagainya itu, apabila disebut tender terbuka dan sebagainya itu, bila sebut skandal itu dan ini, ini adalah hasrat Kementerian Kewangan untuk mengadakan akta khusus mengenai tender. Oleh itu tiada keperluan untuk masukkan perkara mengenai tender terbuka dalam Akta FRA ini,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 di Dewan Rakyat.

Terdahulu, ketika membentangkan RUU berkenaan, beliau menjelaskan empat sasaran ditetapkan iaitu perbelanjaan pembangunan tahunan kerajaan sekurang-kurangnya tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kedua imbangan fiskal tiga peratus daripada KDNK atau kurang dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Ketiga katanya had statutori hutang keseluruhan 60 peratus atau kurang dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Keempat pula, jaminan kerajaan atau liabiliti luar jangka mestilah 25 peratus daripada KDNK atau kurang.

Sasaran itu bagaimanapun ujarnya bukan perlu dicapai dalam tempoh terdekat, sebaliknya disasarkan untuk beberapa tahun mendatang.

24 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa pembentangan Belanjawan 2023 yang disemak semula, mengesahkan kerajaan akan membentangkan FRA tahun ini untuk memastikan tahap ketelusan lebih tinggi dan pengurusan ekonomi yang lebih bertanggungjawab.

Loading...
Terkini