comscore
Tumpuan :
Politik

Bahas cadangan pemansuhan pencen di Dewan Rakyat 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Mana-mana wakil rakyat yang tidak bersetuju dengan rancangan kerajaan untuk memansuhkan pencen bagi penjawat awam lantikan baharu boleh membangkitkan perkara itu di Parlimen kelak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, menteri berkaitan akan bertanggungjawab untuk menjawab segala persoalan tersebut.

“Kami dalam dewan (Dewan Rakyat) nanti akan bahas. Menteri kena jawab. Backbencher (penyokong kerajaan), (dan) pembangkang juga boleh bangkitkan. Ini adalah apa yang dikatakan semak dan imbang,” katanya yang ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 KKM, di sini hari ini.

Dewan Rakyat akan bersidang selama 69 hari pada tahun ini, dengan sidang pertama bermula 26 Februari hingga 27 Mac iaitu selama 19 hari.
Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, pengambilan penjawat awam baharu secara kontrak dilakukan untuk tempoh singkat sebelum Jemaah Menteri meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi tidak berpencen.

Jelasnya, langkah itu bagi mengurangkan beban ditanggung kerajaan untuk pembayaran pencen mencecah RM120 bilion menjelang 2040 jika sistem saraan sedia ada tidak dipinda.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, cadangan skim saraan baharu tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang negatif atau merugikan kerana mereka yang mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mungkin menerima keuntungan yang besar.

Mengulas mengenai cadangan pemansuhan skim pencen dilaksanakan terhadap wakil rakyat, ujarnya, cadangan tersebut mempunyai merit.

“Saya kira cadangan itu punya meritnya sendiri dan semua berhak untuk memberi cadangan,” katanya.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa cadangan pemansuhan skim pencen membabitkan wakil rakyat dilaksanakan terlebih dahulu sebelum melaksanakannya kepada penjawat awam.

Muhamad Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkata, tidak adil wakil rakyat terus menerima pencen sedangkan skim itu dimansuhkan untuk kumpulan penjawat awam.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini