comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

TPM adakan lawatan rasmi ke India

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof dijadual mengadakan lawatan rasmi ke India dari 24 hingga 28 September 2023.

Lawatan yang turut disertai delegasi peringkat tinggi kementerian, termasuk wakil Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan FELDA bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan meneroka peluang kerjasama dalam sektor perladangan dan komoditi antara Malaysia dan India.

Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam satu kenyataan berkata, lawatan itu juga akan merangkumi beberapa siri mesyuarat peringkat tinggi dengan pegawai utama kerajaan dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan, memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai perdagangan, pertanian, keselamatan makanan dan keselamatan.

Katanya, salah satu acara kemuncak lawatan itu ialah pertemuan dengan Kerajaan Negeri Telangana dan penanam kelapa sawit dan pekebun kecil Telangana.

Jelasnya, pertemuan itu akan membincangkan pelbagai peluang kerjasama serta akses pasaran bagi minyak sawit Malaysia di rantau itu.Kementerian Perladangan dan Komoditi berkata, semasa lawatan rasmi itu,

Timbalan Perdana Menteri dijadual menghadiri Persidangan Minyak Sayuran Lestari kedua anjuran dengan kerjasama Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

Ia berkata, persidangan itu akan menghimpunkan pemegang kepentingan utama dalam industri minyak sayuran untuk membincangkan trend global dan amalan lestari.

India ialah rakan perdagangan keempat terbesar bagi sektor pertanian komoditi Malaysia dan telah memainkan peranan penting dalam sumbangan itu.

Pada 2022, eksport komoditi pertanian Malaysia ke India menyumbang 9.9 peratus daripada jumlah bahagian pasaran antarabangsa, bernilai RM20.49 bilion, meningkat 0.4 peratus berbanding RM20.4 bilion pada 2021.

Produk utama yang dieksport ke India ialah produk berasaskan sawit (RM18.45 bilion), diikuti kayu (RM1.01 bilion) dan getah (RM943 juta).

Loading...
Terkini