comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Trafik penumpang udara lonjak 12.2 peratus pada Mei  

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Trafik penumpang udara Malaysia mencatatkan peningkatan ketara 12.2 peratus dari tahun ke tahun kepada 8.0 juta menjelang Mei 2024, dan naik 0.8 peratus dari bulan ke bulan berbanding April 2024, menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Pengerusi Eksekutif MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kasim melalui satu kenyataan hari ini berkata pertumbuhan itu didorong oleh kenaikan perjalanan antarabangsa, dengan rantau ASEAN serta bukan ASEAN menyumbang walaupun terdapat sedikit penyusutan dalam trafik domestik daripada bulan sebelumnya.

“Trafik penumpang udara bukan ASEAN mengalami lonjakan dari bulan ke bulan tertinggi pada 2.9 peratus, menokok daripada 1.9 juta yang dicatatkan pada April kepada 2.0 juta pada bulan seterusnya.

“Secara keseluruhan, trafik antarabangsa menyaksikan pertumbuhan 2.2 peratus dari bulan ke bulan,” katanya.

Saripuddin berkata angka trafik Mei 2024 menunjukkan daya tahan selain pemulihan berterusan dalam sektor penerbangan, khususnya trafik antarabangsa, yang merupakan petunjuk positif mengenai perjalanan global dan persekitaran pelancongan.

“Dengan pemulihan laluan antarabangsa yang lebih banyak termasuk tambahan kekerapan penerbangan, kami menjangkakan trend ini akan berterusan.

“MAVCOM kekal berdedikasi bagi menyokong pemulihan industri penerbangan, memastikan standard kualiti perkhidmatan lapangan terbang yang tinggi dan melindungi hak pengguna,” tambahnya.

Jumlah trafik penumpang udara untuk Mei 2024 telah mencapai 97.2 peratus daripada sebelum paras pra-pandemik, dengan trafik penumpang antarabangsa menunjukkan daya tahan yang luar biasa, mencapai paras 99.8 peratus berbanding hanya 4.1 juta penumpang pada Mei 2019.

“Trafik domestik juga menunjukkan pemulihan mantap pada 94.7 peratus daripada paras 2019, berjumlah 3.9 juta penumpang pada Mei 2024 berbanding 4.1 juta yang disaksikan semasa April 2019,” katanya. — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini