comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

UMW jual 28,235 unit kereta pada Januari

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kumpulan UMW memulakan 2023 dengan menjual 28,235 unit kenderaan, 13 peratus lebih tinggi berbanding 24,972 unit yang didaftarkan pada bulan yang sama tahun lalu.

Prestasi itu dicapai apabila UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, PERODUA terus berusaha memenuhi tempahan tertunggak yang menggalakkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata, dengan pencapaian yang luar biasa pada 2022, UMWT dan PERODUA akan terus menumpukan kepada tempahan yang tertunggak, terutamanya yang dibuat sebelum tamat tempoh pengecualian cukai jualan.

“Kami amat positif industri automotif akan terus menunjukkan prestasi yang baik pada 2023 berdasarkan tempahan dan permintaan kukuh serta menggalakkan yang berterusan selain mempunyai barisan model baharu menarik yang akan dilancarkan bagi memenuhi permintaan pelangga.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan atas sokongan berterusan mereka terhadap produk dan perkhidmatan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

UMWT memulakan 2023 dengan catatan jualan sebanyak 6,786 unit pada bulan Januari.Kumpulan akan terus meningkatkan pengeluaran untuk pesanan tertunggaknya, terutama yang layak mendapat pengecualian cukai jualan, yang akan didaftarkan pada 31 Mac 2023.

Toyota Vios, Hilux dan Corolla Cross kekal menjadi model paling laris di pasaran bagi bulan Januari 2023.UMWT menjangkakan permintaan dan jualan dapat dikekalkan sepanjang tahun, disokong oleh pengenalan model baharu dan kemas kini.

Bagi mengukuhkan lagi tempahan, UMWT menawarkan promosi istimewa serta pilihan pembiayaan Toyota EZ Beli untuk pembelian Vios dan Yaris.

Sementara itu, PERODUA terus mengekalkan kedudukan tertingginya dalam industri automotif Malaysia dengan pencatatan jualan sebanyak 21,449 unit pada bulan Januari, meningkat 23 peratus berbanding 17,444 unit yang didaftarkan pada Januari 2022.

PERODUA kekal komited untuk memaksimumkan pengeluaran bagi pesanan tertunggak dan menyasarkan pengeluaran sebanyak 330,000 unit kenderaan pada tahun ini.

Selepas mencapai jualan tahunan tertingginya sebanyak 282,019 unit pada 2022, PERODUA menetapkan sasaran jualan yang lebih tinggi iaitu sebanyak 314,000 unit untuk 2023.Pelancaran Perodua Axia 2023 serba baharu pada 14 Februari lalu dijangka memacu jualan tahun ini. –BERITA HARIAN

Loading...
Terkini