comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Untung bersih Gas Malaysia lonjak kepada RM389.54 juta

Foto: Gas Malaysia

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Gas Malaysia Bhd melonjak kepada RM389.54 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 daripada RM249.62 juta setahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pengedaran gas asli itu berkata pendapatan yang lebih baik disebabkan terutamanya oleh keuntungan kasar yang lebih tinggi, pendapatan kewanganyang lebih tinggi dan sumbangan yang lebih tinggi daripada syarikat usaha samanya, tetapi sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi.

Hasil bagi tahun kewangan 2022 juga meningkat kepada RM7.65 bilion daripada RM5.85 bilion pada tahun sebelumnya, sejajar dengan purata harga jualan gas asli yang lebih tinggi, sejajar dengan harga pasaran global, walaupun jumlah jualan gas asli yang lebih rendah pada tahun itu.

“Para pengarah telah mengisytiharkan pada 16 Feb 2023 dividen interim kedua sebanyak 8.24 sen sesaham biasa berjumlah RM105.8 juta yang akan dibayar pada 31 Mac 2023,” kata Gas Malaysia.

Melangkah ke hadapan, syarikat itu berkata ia akan terus mengambil langkah berhemat untuk mengekalkan kecekapan operasinya agar kekal berdaya saing dan mencari peluang untuk mengembangkan perniagaannya.

“Dengan langkah-langkah yang dilaksanakan, lembaga pengarah menjangkakan kumpulan mampu mencapai prestasi yang memuaskan untuk tahun kewangan 2023 seiring dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi domestik,” katanya.

BERNAMA

Loading...
Terkini