comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Untung bersih suku pertama Hong Leong Financial Group naik kepada RM681.74 juta

Hong Leong Financial Group Bhd (HLFG)

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Hong Leong Financial Group Bhd (HLFG) meningkat kepada RM681.74 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 daripada RM640.56 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022, dipacu oleh sumbangan lebih tinggi daripada bahagian perbankan komersial.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, katanya perolehan menokok kepada RM1.65 bilion daripada RM1.56 bilion.

Hong Leong Bank Bhd (HLB) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) lebih tinggi berbanding RM1.04 bilion pada suku sebelumnya, disebabkan terutamanya oleh perolehan lebih tinggi sebanyak RM120 juta, sumbangan keuntungan daripada syarikat bersekutu yang tinggi sebanyak RM47 juta, dan elaun kerugian rosot nilai rendah ke atas pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan sebanyak RM11.2 juta.

HLA Holdings Sdn Bhd (HLAH) mencatatkan PBT lebih rendah berjumlah RM67.7 juta daripada RM108.9 juta sebelum ini berikutan lebihan dana hayat lebih rendah sebanyak RM17.3 juta, sumbangan keuntungan rendah daripada syarikat bersekutu sebanyak RM14.5 juta dan perbelanjaan operasi lebih tinggi sebanyak RM9.5 juta.

Hong Leong Capital Bhd (HLCB) pula meraih PBT yang tidak memberangsangkan sebanyak RM20.8 juta berbanding RM36.9 juta pada suku sebelumnya dalam keadaan sumbangan lebih rendah daripada seluruh bahagian operasi.
Dalam kenyataan berasingan, HLFG berkata pinjaman dan pembiaayaan kasar HLB menokok 8.8 peratus tahun ke tahun kepada RM169.5 bilion, dipacu oleh pengembangan segmen utama seperti gadai janji, perusahaan kecil dan sederhana serta perbankan komersial, di samping operasi luar negara.

Anak syarikat operasi insurans utama, Hong Leong Assurance Bhd (HLA) pula mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai yang merosot kepada RM55.8 juta meskipun meraih lebihan operasi lebih tinggi.

Anak syarikat operasi takaful keluarga, Hong Leong MSIG Takaful Bhd (HLMT) mempamerkan trajektori pertumbuhan perniagaan yang teguh dengan peningkatan sumbangan kasar tahun ke tahun sebanyak 88 peratus, manakala premium kasar syarikat insurans am luar negara, HL Assurance Pte. Ltd dan Hong Leong Insurance (Asia) Limited masing-masing mencapai pertumbuhan 40 peratus dan 15.4 peratus.

Dalam pada itu, keuntungan bersih HLCB susut kepada RM16.0 juta berikutan sumbangan pendapatan rendah daripada bahagian perniagaan perbankan pelaburan, broker saham dan pengurusan dana.

Prestasi kewangan Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) terjejas disebabkan aktiviti pasaran Bursa Malaysia yang lebih rendah dengan ketara pada suku pertama tahun kewangan 2023, dengan nilai dagangan merosot sebanyak 41.2 peratus tahun ke tahun, manakala peningkatan aktiviti perdagangan asing serta penyertaan runcit lebih rendah di pasaran dalam tempoh itu menyebabkan jumlah bahagian pasaran turut merosot.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif HLFG Tan Kong Khoon berkata ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada masa depan berikutan pertambahan aktiviti ekonomi yang disokong pertumbuhan eksport kukuh, prestasi sektor perkhidmatan yang meningkat dan pemulihan sektor pembuatan.

“Bagaimanapun, momentum pemulihan terus berdepan pelbagai cabaran makroekonomi dan luaran seperti tekanan inflasi yang meningkat, kesan pengukuhan dolar Amerika Syarikat dan risiko kemelesetan ekonomi global,” katanya.

Tan berkata kumpulan itu optimis namun berhati-hati bahawa ekonomi Malaysia akan kekal berdaya tahan dalam persekitaran global yang tidak menentu. – BERNAMA

Loading...
Terkini