comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Untung bersih suku pertama TK2023 OSK naik 36% kepada RM115.09 juta 

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih OSK Holdings Bhd bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 meningkat kepada RM115.09 juta daripada RM84.44 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Hasil meningkat kepada RM333.20 juta daripada RM306.46 juta sebelum ini, disumbangkan oleh industri, hospitaliti serta perkhidmatan kewangan dan segmen pegangan pelaburan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata segmen hartanah melaporkan hasil konsisten sebanyak RM174.5 juta pada suku itu berbanding RM175.0 juta setahun lepas disebabkan projek yang sedang dijalankan di Malaysia dan penjualan inventori di Australia.

Segmen industri mencatatkan hasil dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM81.1 juta dan RM6.4 juta, masing-masing meningkat 23 peratus dan 24 peratus, daripada suku pertama tahun kewangan 2022 disokong oleh jualan yang lebih kukuh.

Syarikat itu berkata segmen hospitalitinya merekodkan pendapatan RM24.0 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 berbanding RM17.3 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022, berikutan penarikan sekatan pergerakan dan permintaan terpendam untuk pelancongan tempatan dan aktiviti konvensyen dan mesyuarat sejak awal 2022.

Ia berkata keuntungan sebelum cukai bahagian pembiayaan modal untuk suku pertama tahun kewangan 2023 meningkat 23 peratus kepada RM18.4 juta daripada RM15.0 juta berikutan hasil lebih tinggi sebanyak RM35.6 juta dengan peningkatan dalam pengeluaran pinjaman berbanding suku pertama tahun kewangan 2022.

Sementara itu, bahagian pegangan pelaburan menyumbang keuntungan sebelum cukai sebanyak RM75.4 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 daripada RM51.7 juta setahun lepas, terutamanya disumbangkan oleh Kumpulan RHB berjumlah RM77.9 juta.

Mengenai prospek, OSK berkata segmen pembinaan akan memberi tumpuan untuk menyampaikan nilai perolehan tertunggak semasa yang berjumlah RM415.1 juta setakat 31 Mac 2023.

“Prestasi segmen industri dijangka bertambah baik secara beransur-ansur manakala industri hospitaliti dijangka stabil pada tahun kewangan 2023.

“Prestasi segmen perkhidmatan kewangan dan pegangan pelaburan bergantung kepada prestasi Kumpulan RHB dan pinjaman baharu yang akan dikeluarkan oleh bahagian pembiayaan modal,” katanya.

BERNAMA

Loading...
Terkini