comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

“Saya mampu bertahan kerana anak-anak” – Madonna

Pada konsert sempena ulang tahun ke-40 sejak single pertamanya, Holiday dilancarkan pada 1983, Madonna mendendangkan kira-kira 40 lagu. Foto The Celebration Tour Fan Page/ Instagram

LONDON: Selepas berehat panjang akibat jangkitan bakteria yang serius, Ogos lalu, bintang digelar Ikon Pop, Madonna, 65, membuka siri jelajah The Celebration Tour di O2 Arena di sini, malam tadi.

Seperti yang dijanjikan, bintang legenda itu tampil dengan persembahan penuh bertenaga dan memukau biarpun beberapa bulan lalu, berdepan situasi di ambang maut berikutan jangkitan bakteria.

Ketika menjayakan persembahan, Madonna atau nama penuh, Madonna Louise Ciccone mengimbau pengalaman menakutkan yang hampir meragut nyawanya.

“Ketika itu, saya berada di ambang kematian. Saya tidak tahu di mana saya berada. Saya sendiri tidak sangka masih diberi peluang untuk terus hidup.

“Saya juga mampu bertahan kerana anak-anak… Saya kena kuat demi mereka,” katanya sebelum menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan Gloria Gaynor berjudul I Will Survive.

Ogos lalu, penghibur tersohor yang mula aktif sejak era 1980-an, dilapor ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan bakteria serius sebelum dibenarkan keluar dari hospital dan berehat di kediamannya di New York, Amerika Syarikat (AS).

Pada konsert itu, Madonna turut meluahkan rasa sedih berhubung konflik antara Israel dan Palestin.

“Banyak perkara gila yang berlaku dalam dunia ketika ini yang cukup menyedihkan untuk dilihat. Meskipun hati kita hancur melihatnya, namun, semangat kita tetap kuat dan tidak mampu dipatahkan,” katanya.

Pada konsert sempena ulang tahun ke-40 sejak single pertama, Holiday dilancarkan pada 1983, Madonna mendendangkan kira-kira 40 lagu termasuk Celebration, Into The Groove, Papa Don’t Preach, Like A Prayer dan Vogue.

Pemenang tujuh kali Anugerah Grammy ini dijangka memulakan siri jelajah di Amerika Utara, Disember depan selepas siri Eropah, berakhir.

Celebration Tour adalah penampilan pertamanya selepas Konsert Madame X pada 2019 dan 2020 – AGENSI

Loading...
Terkini