comscore
Tumpuan :
Dunia

Madonna keluar hospital, kini berehat di rumah

Foto: Reuters

LOS ANGELES: Ikon pop terkenal, Madonna yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan bakteria serius dilaporkan keluar hospital dan berehat di kediamannya di New York, Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Mengikut laporan CNN menerusi seorang sumber, Madonna dikatakan dibawa pulang ke rumahnya dengan menaiki ambulans persendirian.

“Beliau dalam keadaan selamat,” kata sumber kepada CNN.

Sumber rapat dengan penyanyi ‘Into the Groove’ itu berkata keadaan Madonna semakin pulih selepas keluar hospital.

Dalam satu hantaran dikongsi dalam Instagram (IG), semalam, pengurus Madonna, Guy Oseary berkongsi penyanyi berusia 64 tahun itu mengalami jangkitan kuman yang serius yang menyebabkan beliau perlu tinggal selama beberapa hari dalam ICU.

“Kesihatannya bertambah baik, bagaimanapun masih di bawah pemantauan. Kami mengharapkan Madonna pulih sepenuhnya,” tulis Oseary.

Oseary turut memaklumkan bahawa Madonna akan menangguhkan siri jelajah dunia sehingga pulih sepenuhnya.

“Buat masa ini, Madonna perlu menghentikan semua komitmen, termasuk siri jelajahnya.

“Kami akan berkongsi butiran lanjut sebaik sahaja mendapatkannya, termasuk tarikh baharu untuk siri jelajah dan konsert yang dijadualkan semula,” katanya.

Terdahulu, Madonna dijangka mengumumkan 84 tarikh bagi siri konsert jelajah dunia bulan depan.

Konsert diadakan sempena ulang tahun ke-40 lagu pertamanya, ‘Holiday’ yang dikeluarkan pada 1983. – AGENSI

Loading...
Terkini