comscore
Tumpuan :
Dunia

20,000 bayi Gaza lahir sejak perang tercetus

Wanita berlindung di kem pelarian PBB di Khan Younis, selatan Gaza bersama anak-anaknya. – FOTO: Reuters

GENEVA: Hampir 20,000 bayi dilahirkan sepanjang perang tercetus di Gaza, dengan ada ibu hamil terpaksa melahirkan bayi mereka secara pembedahan tanpa bius, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), semalam.

Ada sesetengah kes pula, wanita yang selamat melahirkan anak terpaksa didaftar keluar hospital dalam tempoh beberapa jam selepas pembedahan.

Unicef berkata, sejak perang tercetus 7 Oktober lalu, ibu dan bayi baru lahir berdepan kekurangan bantuan yang sangat mendesak, sementara pengeboman Israel ke atas Gaza masih berleluasa.

Terdapat wanita hamil yang terkorban dan wanita lainnya ada yang tidak dapat melahirkan bayi mereka yang sudah meninggal dunia dalam kandungan kerana kekangan petugas kesihatan.

“Menjadi seorang ibu sepatutnya masa untuk diraikan. (Namun) di Gaza, ia adalah seorang lagi anak yang dihantar ke neraka,” kata jurucakap Unicef, Tess Ingram selepas pulang daripada perjalanan ke selatan Gaza.

Ingram berkata, kakitangan di Hospital Emirati yang padat di selatan Gaza terpaksa mengeluarkan ibu bersalin dalam tempoh tiga jam selepas pembedahan, situasi yang disifatkannya sebagai ‘sukar dipercayai dan memerlukan tindakan segera.’

Menurutnya, trauma akibat peperangan yang bagai tidak berkesudahan itu memberi kesan secara langsung kepada bayi baru lahir, selain meningkatkan kadar kanak-kanak kekurangan zat makanan.

Dianggarkan 135,000 kanak-kanak Gaza di bawah umur dua tahun berisiko tinggi mengalami kekurangan zat makanan

“Masalah perkembangan dan komplikasi kesihatan lain juga lebih tinggi,” katanya.

Sehingga kini, angka korban akibat serangan Israel ke atas Gaza meningkat kepada 24,620 kematian dan 61,830 kecederaan, dengan mangsa kebanyakannya kanak-kanak serta wanita. -Agensi

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini