comscore
Tumpuan :
Dunia

6,000 bom seminggu digugurkan di Gaza, 1,000 kanak-kanak kini cacat

Kanak-kanak Palestin, Eman Al Kholi, yang kehilangan anggota badan akibat serangan Israel mendapatkan rawatan susulan di Hospital Eropah di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. Keluarganya terbunuh dalam serangan terbabit. – Foto REUTERS

MADRID: Israel diyakini sudah melanggar undang-undang antarabangsa dengan pengeboman tanpa henti ke atas Gaza sehingga memusnahkan sama sekali kawasan kejiranan di Palestin, membunuh puluhan ribu rakyat negara itu.

Pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Francesca Albanese, mengeluarkan kenyataan itu ketika Israel dihadapkan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), selepas kes difailkan Afrika Selatan.

Katanya, dalam tempoh lebih 100 hari pengeboman tanpa henti, rejim Israel menggunakan 6,000 bom seminggu dan bom seberat 2,000 paun (lebih 900 kilogram), di kawasan yang sangat sesak penduduk.

Tambah beliau, akibat serangan itu, kebanyakan hospital kini tidak berfungsi dengan sebahagian besar daripadanya ditutup, dibom atau diambil alih oleh tentera.

“Orang ramai kini boleh menemui ajal bukan sahaja kerana bom tetapi kerana tiada infrastruktur kesihatan yang mencukupi untuk merawat mereka.

“Bilangan kanak-kanak yang terpaksa dipotong anggota badan mereka setiap hari amat mengejutkan… dalam dua bulan pertama (perang) ini, 1,000 kanak-kanak terpaksa dipotong anggota badan mereka.

Remaja Palestin, Ramadan Basal, yang kehilangan anggota badan akibat serangan Israel mendapatkan rawatan susulan di Hospital Eropah di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. – Foto REUTERS

“Apa yang lebih menyayat hati ialah hampir kesemua pembedahan ini dilakukan tanpa ubat bius kerana perlu disegerakan bagi menyelamatkan nyawa,” katanya.

Albanese, yang juga seorang peguam di Itali berkata, Israel dikesan melakukan beberapa perkara yang sangat menyalahi undang-undang dan tidak sah.

“Walaupun Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri, undang-undang kemanusiaan antarabangsa mesti dihormati untuk melindungi orang awam.

“Ini merangkumi mereka yang tidak terbabit secara langsung dalam pertempuran iaitu penduduk tempatan, tawanan perang dan mereka yang sakit atau cedera.

“Ini bermakna perlu ada perbezaan antara pejuang dan orang awam selain memastikan serangan tentera adalah bersifat berkadar untuk mengelakkan kemudaratan yang berlebihan kepada orang awam,” katanya.

Albanese berkata, beliau turut mengutuk sekeras-kerasnya keganasan dilakukan oleh Hamas, yang juga jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, tetapi ia tidak bermakna tindak balas yang dilakukan Israel dibenarkan.

Pelapor khas bukan sahaja kakitangan PBB tetapi pakar bebas yang dinamakan oleh suruhanjaya hak asasi manusia PBB bagi memantau pematuhan hak asasi manusia.

Sebelum ini, Afrika Selatan mengheret Israel ke ICJ minggu lalu namun ditentang hebat rejim itu dengan sokongan daripada Amerika Syarikat (AS) dan sekutu lain.

Israel menegaskan tindak balas tenteranya adalah untuk mempertahankan diri selepas kekejaman serangan Hamas, malah menuduh bahawa kes pembunuhan beramai-ramai adalah fakta yang diputarbelitkan. – AGENSI

Loading...
Terkini