comscore
Tumpuan :
Nasional

1,197 calon simpanan pegawai perubatan, pegawai farmasi dilantik ke jawatan tetap – KKM

FOTO: KKM / Facebook

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melantik 1,197 calon simpanan, merangkumi 857 calon pegawai perubatan dan 340 calon pegawai farmasi bagi mengisi jawatan tetap di kementerian berkenaan.

Pelantikan itu selepas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) meluluskan permohonan 1,197 jawatan tetap pada 29 September tahun lalu dan 3 Januari lalu bagi mengisi baki kekosongan jawatan, selepas 1,508 calon simpanan pegawai perubatan dan pegawai farmasi fasa pertama selesai melapor diri 18 Disember tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, KKM memaklumkan, selaras dengan kelulusan SPA itu, semua calon simpanan yang menerima surat tawaran lantikan tetap telah dimaklumkan untuk melengkapkan urusan setuju terima menerusi Sistem Tawaran Pelantikan (MySTP) SPA.

“Urusan dalam tempoh 21 hari bermula 29 Disember 2023 bagi calon pegawai perubatan dan 3 Januari 2024 untuk calon pegawai farmasi. Sepertimana jaminan ketelusan dalam urusan penempatan lantikan tetap sebelum ini, penempatan kali ini dilaksanakan menerusi sistem ‘e-placement’.

“Ia merangkumi sistem ‘e-housemen’ untuk calon pegawai perubatan dan ‘e-pharmacist’ untuk calon pegawai farmasi. Setiap calon telah dimaklumkan untuk membuat pemilihan penempatan bagi tujuan pengesahan lapor diri bertugas dalam tempoh sistem dibuka dari 15 hingga 17 Januari lalu.

“Tawaran pelantikan tetap terbatal sekiranya calon tidak buat pemilihan penempatan dalam tempoh yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

KKM turut menyediakan saluran menerusi ‘google form’ untuk calon yang ingin mengemukakan rayuan pertukaran penempatan, bermula 15 hingga 19 Januari lalu.

Katanya, rayuan dibawa untuk pertimbangan Jawatankuasa Rayuan Penempatan dengan keputusan akan dimaklumkan kepada calon menerusi portal Semakan Kerjaya KKM pada 31 Januari, manakala penempatan ke fasilliti akan dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri mulai 12 Februari depan.

“Tarikh pelantikan tetap calon berkuat kuasa pada tarikh mereka lapor diri bertugas, iaitu 4 Mac 2024,” katanya.

Loading...
Terkini