comscore
Tumpuan :
Dunia

9.5 juta penduduk Brazil berisiko berdepan banjir, tanah runtuh

Foto: AP

SAO SEBASTIAO: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menyatakan kerajaan akan membantu usaha pembinaan semula rumah bagi mangsa banjir dan tanah runtuh di kawasan berisiko.

Kerajaan juga akan mengeluarkan rayuan menghentikan pembinaan di kawasan rendah serta lereng bukit yang terdedah kepada bencana banjir yang kerap berlaku di negara itu.

Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dan berpuluh lagi masih hilang ketika bencana itu berlaku semasa sambutan karnival terkenal di negara itu diadakan.

Pekerja penyelamat berusaha mencari mangsa yang terselamat tertimbus di bawah lumpur dan runtuhan selepas 24 jam hujan direkodkan pada hujung minggu dan jumlah hujan yang turun lebih dua kali ganda daripada biasa.

Susulan itu, lebih 1,700 orang sudah dipindahkan, manakala 766 kehilangan tempat tinggal.

Brazil dilanda beberapa siri bencana berkaitan cuaca dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang mana menurut pakar, ia berkemungkinan bertambah buruk oleh perubahan iklim.

Dianggarkan 9.5 juta daripada 215 juta penduduk Brazil tinggal di kawasan berisiko tinggi banjir atau tanah runtuh. – AFP

Loading...
Terkini