comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] “Ada bukti cukup dakwa Israel di ICC”, kata Presiden Turkiye

 

ISTANBUL: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan semalam sekali lagi mengkritik Israel atas tindakan rejim itu di Gaza dengan mengatakan terdapat bukti mencukupi untuk pihak berkenaan diadili di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Terdapat bukti yang mencukupi untuk pentadbiran Israel dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Kami akan melakukan segala-galanya dalam kuasa kami untuk memastikan jenayah ini dihukum secara adil,” kata Erdogan ketika pulang dari lawatan sehari ke Jerman.

Bercakap mengenai Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang berdepan bantahan semakin meningkat berhubung kegagalan menghalang serangan 7 Oktober oleh Hamas, pemimpin Turkiye itu berkata: “Netanyahu semakin hilang; kami akan menyingkirkannya. Mudah-mudahan, Israel akan hapuskan dia, dan semua orang Yahudi di dunia akan menyingkirkannya.

“Pada masa ini, 60 hingga 70 peratus rakyat negaranya sendiri menentang Netanyahu.”

Beliau berkata, Turkiye telah menyokong pihak yang tertindas di Gaza dan akan terus berbuat demikian.

“Israel cuba menghalang bantuan dan membebankan Gaza dengan makanan dan air. Tetapi kami tidak berputus asa.

“Walau apa pun halangan, kami akan terus memastikan Gaza terus hidup. Seluruh dunia, khususnya negara Islam, harus menggembleng tenaga untuk memberikan bantuan,” katanya.

Israel meneruskan serangan udara dan darat ke atas Gaza sejak serangan mengejut oleh Hamas, membunuh lebih 12,300 rakyat Palestin. Angka kematian rasmi di Israel berjumlah kira-kira 1,200.

Beribu-ribu bangunan, termasuk hospital, masjid dan gereja, juga telah rosak atau musnah.

Israel mengingkari gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata melainkan semua tebusan yang ditahan Hamas ketika serangan bulan lalu dilepaskan. – AGENSI

Loading...
Terkini