comscore
Tumpuan :
Dunia

AI robot disediakan di Masjidil Haram jawab pertanyaan agama, fatwa

MAKKAH: Presidensi Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi melakar satu lagi pencapaian dalam menyampaikan erkhidmatan kepada umat Islam dengan memperkenalkan robot panduan pintar yang mampu menjawab pertanyaan berkaitan agama dan fatwa.

Menurut laporan Agensi Berita Arab Saudi (SPA), robot kecerdasan buatan itu menawarkan perkhidmatan fatwa dalam 11 bahasa sekali gus memperlihatkan kemajuan terbaharu yang ketara oleh Presidensi Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Sebelas bahasa yang digunakan oleh robot itu ialah Arab, Inggeris, Perancis, Rusia, Parsi, Turkiye, Melayu, Urdu, Cina, Benggali dan Hausa.

Setiap robot mempunyai kamera definisi tinggi untuk merakam panoramik, pembesar suara dan teknologi pembatalan hingar untuk bunyi lebih jelas serta mikrofon berkualiti tinggi bagi memastikan audio yang lebih bermutu, menurut laporan itu.

“Robot terbabit akan merayau-rayau di pekarangan Masjidil Haram untuk menjalankan fungsinya.

Robot itu sangat popular dalam kalangan jemaah haji dan umrah dengan membantu menjawab pelbagai soalan mengenai agama,” kata laporan itu.

Setiap robot juga dilengkapi skrin sentuh 21 inci yang boleh digunakan untuk pelbagai perkhidmatan penting kepada pengunjung Masjidil Haram seperti panduan, arah dan pendapat.

Dilengkapi empat roda membolehkan robot berkenaan bergerak dan berhenti dengan lancar selain beroperasi tanpa wayar dan berkelajuan 5GHz sekali gus membolehkan pemindahan data yang pantas dan cekap di samping menyediakan perkhidmatan fatwa.

Inisiatif itu sebahagian daripada usaha pelaburan dalam teknologi moden dan kecerdasan buatan (AI) yang menjadi teras utama strategi meningkatkan perkhidmatan untuk jemaah haji.

“Pihak presidensi juga berhasrat menawarkan perkhidmatan fatwa secara elektronik selaras dengan ajaran Islam yang bercirikan toleransi dan terangkum,” menurut laporan itu.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini