comscore
Tumpuan :
Dunia

Ancaman Israel untuk serang Rafah boleh cetuskan konflik dengan Mesir 

FOTO: Reuters

NEW DELHI: Ancaman tentera Israel untuk menyerang Bandar Rafah di Semenanjung Gaza, Palestin boleh mencetuskan konflik dengan Mesir, kata Duta Mesir ke India Wael Mohamed Awad Hamed.

Beliau berkata sebarang operasi ketenteraan di sana akan melipatgandakan kematian.

“Ini sesuatu yang kami tidak boleh tahan,” katanya pada petang Jumaat di Kelab Koresponden Asing di sini.

Dianggarkan seramai 1.5 juta warga Palestin atau dua pertiga daripada populasi Gaza berlindung di Rafah selepas serangan tentera Israel selama enam bulan mengakibatkan ramai penduduk di utara dan kawasan lain di Palestin hilang tempat tinggal.

Setelah menghancurkan sebahagian besar daripada Gaza, rejim Israel mengancam untuk meluaskan pendudukannya termasuk ke Rafah berhampiran sempadan Mesir biarpun diberikan amaran oleh negara itu supaya tidak melakukannya.

Wael berkata Israel mahu mengusir warga Palestin dari Gaza untuk mengambil tanah mereka sebagaimana rejim Zionis itu menghalau orang Arab daripada tanah mereka di Palestin lebih daripada 75 tahan lepas.

“Sekali penduduk Palestin meninggalkan tanah mereka, mereka tidak akan dibenarkan oleh Israel untuk kembali. Justeru, segala persoalan tentang warga Palestin akan lenyap,” kata Wael.

Mesir telah memberitahu Israel supaya tidak melampau batas dengan memaksa warga Palestin masuk ke wilayahnya.

Wael berkata sekiranya warga Palestin meninggalkan Gaza dan menyeberang masuk ke Gurun Sinai, mereka akan terus berjuang untuk tanah mereka.

Apakan kedudukan Mesir dalam keadaan itu ?” soal beliau dan memberi amaran mengenai bahaya yang akan melanda rantau itu dan boleh menjejaskan kedamaian yang wujud antara Israel dan Mesir sejak perjanjian damai antara kedua-dua negara pada 1979.

“Adakah kita mahu keseluruhan rantau ini terbakar?” soal beliau.

“Justeru, kami jelaskan. Ini adalah batasnya. Warga Palestin tidak akan meninggalkan tanah mereka,” kata duta itu.

Israel telah membunuh sekurang-kurangnya  34,356 warga Palestin dan mencederakan 77,368 orang lagi di Gaza, sejak Oktober, menurut perangkaan itu setakat Jumaat.  – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini