comscore
Tumpuan :
Dunia

Arab Saudi hadkan kawasan sekitar Kaabah hanya untuk jemaah umrah

KAHERAH: Arab Saudi menetapkan halaman sekitar Kaabah di Masjidil Haram, adalah dihadkan untuk jemaah yang mengerjakan Umrah sahaja.

Pihak Berkuasa Am Penjagaan Dua Masjid Suci, yang bertanggungjawab ke atas Masjidil Haram di Makkah, berkata langkah itu bagi memastikan keselamatan jemaah dan membolehkan mereka melakukan ibadah dengan mudah lagi selesa.

Agensi penguasa itu menggesa pengunjung lain menggunakan tempat yang ditetapkan untuk solat, di masjid yang terbentang luas itu.

Langkah itu diumumkan, menjelang bulan suci Ramadan apabila musim umrah biasanya memuncak, menurut laporan Gulf News.

Sejak alam beberapa bulan kebelakangan ini, Arab Saudi mendedahkan banyak kemudahan untuk umat Islam di luar negara yang datang ke negara itu bagi menunaikan umrah.

Umat Islam yang memegang pelbagai jenis visa kunjungan, seperti visa peribadi, lawatan dan pelancong, dibenarkan untuk mengerjakan Umrah dan melawat Al Rawda Al Sharifa, di mana makam Nabi Muhammad (SAW) terletak di Masjid Nabawi di Madinah, selepas membuat tempahan kunjungan melalui talian.

Pihak berkuasa Arab Saudi juga melanjutkan visa umrah daripada 30 hari kepada 90 hari, dan membenarkan pemegangnya memasuki negara itu melalui semua saluran darat, udara dan laut serta keluar dari mana-mana lapangan terbang.

Sementara itu, jemaah wanita tidak lagi perlu diiringi oleh mahram lelaki.

Pemerintah Arab Saudi juga memaklumkan bahawa ekspatriat yang menetap di negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GIC) layak memohon visa pelancong, tanpa mengira profesion mereka, dan boleh menunaikan umrah.- AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini