comscore
Tumpuan :
Dunia

Masjidil Haram akan dibahagikan mengikut zon berkod

JEDDAH: Beberapa kawasan Masjidil Haram di Makkah akan dibahagikan kepada zon berkod bagi memudah dan melancarkan akses kepada jemaah dan pekerja.

Memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berhubung perkara itu dengan Syarikat Perkhidmatan Pos dan Logistik Saudi (SPL).

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di luar Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah 2024.Di bawah MoU berkenaan, SPL akan menjalankan kajian bagi membahagikan kawasan Masjidil Haram kepada zon berkod untuk menentukan lokasi geografi dengan tepat bagi membimbing jemaah dan pekerja di masjid.

Perjanjian itu juga bertujuan mengukur prestasi dan pengagihan kakitangan yang bekerja berdasarkan kapasiti penginapan dan operasi, selain memastikan standard tertinggi perkhidmatan dapat disediakan di tempat suci umat Islam.

Masjidil Haram menyaksikan jumlah jemaah umrah tertinggi dalam sejarahnya sepanjang tempoh tahun lalu.

Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Al-Rabiah, baru-baru ini berkata seramai 13.55 juta jemaah luar menunaikan umrah pada 2023.

Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 58 peratus, dengan jumlah jemaah lebih lima juta berbanding tahun sebelumnya.“Saya gembira untuk berkongsi beberapa berita baik dan belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Jumlah tertinggi jemaah yang tiba dari luar pada 2019 ialah 8.5 juta.

“Tahun ini dan berdasarkan kemudahan yang diperkenalkan oleh kepemimpinan Arab Saudi, jumlah itu meningkat kepada 13,550,000 juta jemaah umrah,” katanya dalam sesi pembukaan Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah, yang bermula di Jeddah pada 8 Januari lalu.

Kerajaan Saudi berminat untuk memastikan pengaturan dan kemudahan yang terperinci bagi membolehkan jemaah haji dan umrah melaksanakan ibadah mereka dengan mudah dan selesa. – AGENSI

Loading...
Terkini