comscore
Tumpuan :
Dunia

AS sahkan Ukraine guna Patriot tembak jatuh peluru berpandu hipersonik Rusia

Foto : Reuters

TORONTO, 10 Mei (Bernama-Anadolu) — Tentera Ukraine menembak jatuh peluru berpandu hipersonik Kinzhal milik Rusia dengan menggunakan sistem pertahanan udara Patriot buatan Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Anadolu (AA), memetik jurucakap Pentagon pada Selasa.

“Saya boleh mengesahkan bahawa mereka telah menembak jatuh peluru berpandu Rusia dengan menggunakan sistem pertahanan peluru berpandu Patriot.

“Sistem pertahanan itu adalah sebahagian daripada pertahanan udara yang dibekalkan oleh AS dan masyarakat antarabangsa kepada Ukraine,” kata Brigedier Jeneral Patrick Ryder pada taklimat akhbar.

Bagaimanapun, Ryder enggan menyatakan negara mana yang membekalkan bateri peluru berpandu yang menembak jatuh peluru berpandu hipersonik itu.

Sistem pertahanan udara Patriot pernah digunakan oleh AS untuk menangkis peluru berpandu balistik Iran di Iraq dan Arab Saudi, tetapi kali ini buat kali pertama sistem itu menembak jatuh peluru berpandu hipersonik.

“AS bersama sekutu dan rakan kongsi kami akan terus segera meningkatkan keupayaan pertahanan udara untuk membantu Ukraine mengawal ruang udara dan mempertahankan rakyatnya daripada peluru berpandu jelajah dari Rusia dan dron dari Iran,” kata Ryder.

Pentadbiran Presiden AS Joe Biden pada awal Selasa menjanjikan bantuan ketenteraan jangka panjang bernilai US$1.2 bilion kepada Ukraine, termasuk sistem pertahanan udara dan senjata. – BERNAMA-ANADOLU

 

Loading...
Terkini