comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] AS veto resolusi UNSC seru gencatan senjata di Gaza

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) menolak cadangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya gencatan senjata kemanusiaan diadakan segera antara Israel dan Palestin.

Cadangan draf resolusi ringkas itu dikemukakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) disokong 13 ahli lain.

Hanya Britain bertindak berkecuali manakala Washington diasingkan secara diplomatik kerana melindungi sekutunya.

Undian itu dibuat selepas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran secara rasmi kepada 15 anggota UNSC mengenai ancaman global akibat perang yang berlarutan selama dua bulan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Duta Besar AS ke PBB, Robert Wood, berkata draf resolusi itu adalah teks tergesa-gesa dan tidak seimbang.

“Kami tidak menyokong gesaan resolusi ini untuk gencatan senjata yang tidak mampan yang hanya akan menanam ‘benih’ untuk perang seterusnya,” katanya.

AS menawarkan pindaan besar kepada draf itu, termasuk mengutuk serangan Hamas.

Sementara itu, Duta Besar Britain untuk PBB, Barbara Woodward, berkata negaranya berkecuali kerana tiada kutukan terhadap Hamas.

“Israel perlu dapat menangani ancaman yang ditimbulkan oleh Hamas dan ia perlu berbuat demikian dengan cara yang mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa supaya serangan sedemikian tidak boleh dilakukan lagi,” katanya.

Duta Israel PBB, Gilad Erdan tidak berucap di majlis itu selepas undian dibuat tetapi dalam satu kenyataan berkata, gencatan senjata akan dapat dilakukan hanya dengan kembalinya semua tebusan dan kemusnahan Hamas.

Akibat serangan berterusan tentera rejim Zionis, lebih 17,480 orang terbunuh setakat ini manakala sebilangan besar 2.3 juta penduduk Palestin dihalau dari rumah mereka, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. – REUTERS

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini