comscore
Tumpuan :
Dunia

Biden hampir tak mampu bercakap sebelum debat dengan Trump

Biden (kanan) dan Trump pada sesi debat, 27 Jun lalu. – FOTO REUTERS

MOSCOW: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dikatakan hampir tidak mampu bercakap dua hari sebelum sesi debat yang menyaksikan beliau mempamerkan prestasi buruk ketika berdepan pencabarnya, Donald Trump, baru-baru ini.

Ia disebabkan pemimpin berusia 81 tahun itu mengalami selesema yang serius dan keletihan, lapor Politico memetik sumber yang mengetahui situasi itu, menurut Sputnik.

Jumaat lalu, Biden dalam wawancara dengan ABC News berkata, beliau sakit dan berasa sangat teruk ketika perdebatan itu.

Pada 25 Jun lalu, Biden bangun dalam keadaan selesema sebelum mengadakan latihan singkat bersama kakitangannya untuk persediaan menghadapi sesi debat itu dan kemudian berehat sepanjang hari, lapor Politico yang memetik lima sumber, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, keputusan ujian COVID-19 beliau dilaporkan negatif.

Keesokan harinya, pembantu beliau cuba mengejar persiapan untuk debat itu, yang berlanjutan hingga pagi Khamis minggu lalu.

Beberapa pembantu percaya bahawa latihan berlebihan menyebabkan Biden bertambah letih, kata sumber kepada laman berita itu.

Biden kelihatan keliru dan tidak koheren sepanjang debat pertamanya dengan Trump, 27 Jun lalu, sekali gus menambah kebimbangan akan kebolehan kognitifnya pada usia 81 tahun.

Prestasi beliau yang buruk telah mendorong beberapa ahli politik Demokrat, penderma dan penyokong lain menggesa beliau disingkirkan sebagai calon Pilihan Raya Presiden AS yang dijadualkan berlangsung pada November depan.

Biden dan Trump dijangka tampil sebagai saingan utama pada pilihan raya itu nanti selepas kedua-duanya memperoleh undi delegasi yang mencukupi untuk menjadi calon bertanding masing-masing mewakili parti Demokrat dan Republikan.

Trump dan Biden dijangka berdebat lagi pada 10 September depan. – BERNAMA-SPUTNIK

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini