comscore
Tumpuan :
Dunia

Bot sarat etnik Rohingya dihalau tentera laut Indonesia 

Foto hiasan. – Reuters

JAKARTA: Sebuah kapal tentera laut Indonesia bertindak menghalau bot yang membawa etnik Rohingya dari Myanmar, menurut jurucakap tenteranya.

Tindakan dilakukan di perairan Aceh terhadap pelarian dari negara konflik itu dibuat ketika semakin banyak permusuhan tercetus membabitkan kumpulan itu dengan penduduk tempatan.

Jurucakap tentera, Nugraha Gumilar, berkata bot kayu itu ditemui di perairan berhampiran Pulau Weh, di luar Sumatera.

“Kapal tentera Indonesia mengiringi bot dipercayai membawa Rohingya itu sehingga mereka berada di luar perairan Indonesia dan tidak akan kembali.

“Tidak begitu jelas anggaran berapa ramai Rohingya berada di atas bot terbabit,” katanya.

Lebih 1,500 Rohingya sudah mendarat di Indonesia sejak November, menurut data dari agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR).

Namun, kehadirannya mencetuskan permusuhan dan penolakan yang semakin meningkat dari kalangan penduduk tempatan yang kecewa dengan kehadiran jumlah bot yang tiba.

Pada Rabu, sekumpulan besar pelajar Indonesia menyerbu pusat konvensyen menempatkan ratusan Rohingya di ibu kota Aceh, menggesa mereka supaya dihantar pulang.

UNHCR berkata, pihaknya terkilan melihat serangan oleh kumpulan perusuh di tempat perlindungan keluarga pelarian berkenaan.

Selama bertahun-tahun, Rohingya meninggalkan Myanmar, di mana mereka secara umumnya dianggap sebagai penceroboh asing dari Asia Selatan, selain dinafikan kewarganegaraan dan sering berdepan penindasan.

Mereka biasanya menuju ke Indonesia atau negara jirannya, Malaysia dari November hingga April, iaitu ketika laut tenang dari ombak besar. – REUTERS

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini