comscore
Tumpuan :
Dunia

El Nino bakal landa Australia

Foto Reuters

SYDNEY: Biro Meteorologi Australia (BOM) pada Selasa secara rasmi mengisytiharkan peristiwa cuaca El Nino, dua bulan selepas Pertubuhan Meteorologi Dunia mengumumkan bahawa keadaan El Nino melanda kawasan Pasifik tropika buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun, lapor Xinhua.

Bercakap pada sidang media pada petang Selasa, pengurus Pemantauan Iklim BOM, Karl Braganza, memberitahu pemberita bahawa selepas mengeluarkan El Nino Watch pada Mac dan kemudian menaikkannya kepada amaran pada Jun, jabatan itu telah menunggu agar atmosfera bersesuaian dengan laut dalam corak El Nino.

“Dalam dua minggu terakhir, kami telah melihat atmosfera di atas Pasifik tropika bertindak balas terhadap corak itu,” kata Braganza.

Beliau juga menambah bahawa satu peristiwa Indian Ocean Dipole (IOD) positif juga sedang berlaku di Australia.

“Apabila perkara ini berlaku bersama-sama, ia cenderung meningkatkan kekurangan hujan di tenggara benua sepanjang musim bunga,” kata pakar itu.

Menurut Kemas Kini Pemacu Iklim terkini, pengisytiharan dua cuaca itu mengukuhkan ramalan suhu lebih panas dan kering untuk sebahagian besar Australia dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Biro itu menggariskan bahawa apabila IOD positif dan El Nino bertepatan, kesan pemanasan biasanya lebih kuat dan lebih meluas di seluruh Australia.

“El Nino cenderung memberi kesan kepada suhu global dari sekarang hingga pertengahan tahun depan. Malangnya, kita mungkin akan melihat kesinambungan pemanasan global sehingga pertengahan 2024,” Braganza memberi amaran.  — BERNAMA-XINHUA

Loading...
Terkini