comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] ‘Exit poll’ jadi indikator awal kemenangan Prabowo-Gibran

JAKARTA: Keputusan “exit poll” Pilihan Raya Umum Indonesia 2024 semalam menjadi indikasi awal kepada prestasi cemerlang Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka apabila ianya konsisten dengan hasil kiraan pantas.

Bagaimanapun, keputusan akhir hanya akan dimuktamadkan setelah kiraan secara manual dan bertahap dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU).

Dalam masa yang sama, sebarang bantahan boleh dikemukakan ke Mahkamah Perlembagaan Indonesia sebaik keputusan rasmi diumumkan bulan depan.

Hasil kiraan pantas menunjukkan Prabowo-Gibran unggul dengan peratusan yang lebih tinggi, mengatasi rekod yang pernah dicapai Presiden Joko Widodo.

Keputusan semalam menunjukkan hasil yang konsisten buat Prabowo-gibran sejak kempen bermula, sehingga ke “exit poll” dan hitung cepat”.

Pun begitu, penganalisis politik Indonesia, Hendro Prasetyo berpandangan hasil hitung cepat terbabit bukanlah satu hal yang mengejutkan.

“Apa yang mengejutkan adalah (undian diperoleh) di atas prediksi kita.

“Kalau kita memprediksi sekitar 55, 56 (peratus), ini kan 58 saat ini posisinya.

“Itu yang agak beda sedikit beberapa peratus, tapi kita sendiri sudah memprediksi bahawa dia meninggalkan jauh (calon lain) karna 50 peratus lebih,” katanya kepada Buletin TV3.

Katanya masyarakat menengah atas memiliki beberapa isu dan kebimbangan manakala masyarakat kelas bawahan tidak begitu memahaminya.

Beliau menjelaskan antara isu berkenaan ialah politik dinasti dan juga masalah bantuan sosial (bansos) yang boleh dikaitkan sebagai pelanggaran etika.

“Bansos ini masyarakat kelas bawah tidak terlalu banyak berfikir tentang itu, rata-rata masyarakat senang saja dapat bansos, tidak terlalu kompleks berfikirnya untuk mengaitkan bahawa ini adalah pelanggaran etika,” katanya lagi.

Selain itu, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo masing-masing menyatakan menerima aduan yang mendakwa berlaku manipulasi dalam proses pemilihan semalam.

Badan Pemantau Pemilu (Bawaslu) juga dilapor menemui sejumlah manipulasi di Tempat Pungutan Suara (TPS).

Menurut Pemantau Demokrasi dan Pilihan Raya Indonesia, Titi Anggraini, pemilihan luar negara termasuk di Kuala Lumpur antara yang dilaporkan.

“Pemilu luar negeri itu persoalan terbesarnya adalah akurasi daftar pemilih kerana proses verifikasinya tidak seketat dengan pemilihan di dalam negeri.

“Mengingat keluar masuk pemilih di luar negeri terutama di Malaysia yang populasi dan pemilihnya besar itu sangat dinamis dan intensif,” katanya.

Semalam, Bawaslu mengesyorkan pemilihan semula membabitkan undi pos dan kotak suara keliling dilakukan selepas mengesahkan terjadinya perlanggaran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini