comscore
Tumpuan :
Nasional

Pilihan Raya Umum Indonesia 2024: Jokowi ucap tahniah kepada Prabowo & Gibran

FOTO: Jokowi / Instagram

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi mengucapkan tahniah kepada Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka, selepas keputusan tidak rasmi agensi pengiraan bebas menunjukkan pasangan calon presiden dan wakil presiden nombor dua itu menguasai hampir 60 peratus dari keseluruhan undi.

Beliau yang ditemui media di Jakarta mengakui telah bertemu dengan kedua-duanya malam semalam sebaik selesai pengundian.

FOTO: Jokowi / Instagram

“Ketemu, ketemu langsung sudah. Semalam. Sudah. Selamat, selamat, gitu,” jawabnya ringkas selepas menghadiri pameran Indonesia International Motor Show (IIMS) 2024 di Jakarta.

Gibran 37 tahun merupakan anak sulung Jokowi, dijangka mencipta sejarah menjadi timbalan ketua negara termuda republik itu.

Foto: Gibran / Instagram

Prabowo yang juga Menteri Pertahanan sebelum ini berjanji akan meneruskan usaha Jokowi meletakkan ekonomi G20 yang kaya sumber sebagai pusat kenderaan elektrik, melanjutkan dorongan infrastruktur dan bantuan sosial besar-besaran, selain mencipta jutaan pekerjaan.

Meskipun  Jokowi berpandangan bahawa kiraan pantas sebagai sistem penghitungan ilmiah, beliau meminta semua pihak bersabar menunggu keputusan rasmi yang dijangka diumum Komisi Pemilihan Umum (KPU) 20 Mac nanti.

“Namun apa pun itu, kita harus tunggu hasil resmi dari KPU. Jadi sabar,” minta Jokowi.

Jika ia disahkan, presiden dan wakil presiden baharu akan mengambil alih pentadbiran negara itu pada Oktober.

Dalam perkembangan sama, pasaran saham Indonesia dilapor naik sehingga 2.2 peratus, manakala nilai rupiah mengukuh 0.3 peratus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini