comscore
Tumpuan :
Dunia

Hanya enam ambulans masih beroperasi di Gaza

Konvoi ambulans yang diserang Israel dekat pintu masuk Hospital Al-Shifa, Gaza baru-baru ini. FOTO: Reuters

GAZA: Hanya enam ambulans yang masih beroperasi di seluruh Semenanjung Gaza berikutan tindakan tidak berperikemanusiaan tentera Israel menyasarkan serangan ke atas kenderaan itu berhampiran hospital yang dikecam hebat antarabangsa.

Kementerian Kesihatan Palestin, memaklumkan pengeboman menyebabkan puluhan orang awam yang tidak bersalah meninggal dunia dan cedera, termasuk kakitangan perubatan, wanita serta kanak-kanak.

“Kami masih bergelut untuk mengendalikan beberapa perkhidmatan penting, termasuk unit rawatan rapi dan taska,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyelar serangan ke atas ambulans yang disifatkan jenayah kejam oleh pasukan pendudukan Israel apabila sengaja menyasarkan ambulans di pintu masuk Hospital Al-Shifa.

Sekurang-kurangnya 13 orang terkorban dalam serangan itu, manakala 26 lagi cedera, menurut Kementerian Kesihatan Palestin yang memaklumkan ambulans sedang membawa beberapa pesakit untuk rawatan.

Pertubuhan itu yang dilapor Anadolu, memberi amaran bahaya keruntuhan hospital berikutan sering dijadikan sasaran, selain bekalan elektrik terputus dan kehabisan ubat-ubatan dan bahan api untuk mengendali generator.

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) berkata, 180 wanita melahirkan anak dalam ‘keadaan berbahaya dan tidak berperikemanusiaan’ setiap hari di Gaza.

“Ramai daripada mereka tidak dapat sampai ke hospital kerana berada di kawasan terkepung dengan tentera Israel menghalang ambulans daripada mengambil mereka,” kata kumpulan itu dalam catatan media sosial pada hari Sabtu.

Dalam video yang disiarkan oleh kumpulan itu, seorang doktor cuba membantu seorang wanita melalui kelahiran dengan memberi arahan kepadanya melalui telefon. – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini