comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] Hospital Al-Shifa disahkan sebagai zon kematian – WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengetuai misi penilaian ke atas Hospital Al-Shifa di Gaza City dan mengesahkan kemudahan itu adalah zon kematian, sekali gus menggesa pemindahan sepenuhnya.

“WHO dan rakan kongsi sedang membangunkan rancangan segera untuk pemindahan baki pesakit, kakitangan dan keluarga mereka,” kata agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan.

Ketika ini terdapat 291 pesakit dan 25 pekerja kesihatan berada di hospital terbesar dan termaju di Gaza itu.

WHO berkata agensi itu mengetuai pasukan bersama PBB, termasuk pakar kesihatan awam, pegawai logistik dan kakitangan keselamatan daripada pelbagai agensi dalam misi singkat dan “sangat berisiko tinggi” ke hospital semalam.

Pasukan penilai telah pergi ke Al-Shifa selepas tentera Israel sebelum ini mengarahkan pemindahan kira-kira 2,500 orang pelarian yang berlindung di kawasan hospital, kata WHO.

“Mereka bersama beberapa pesakit bergerak dan kakitangan hospital, telah mengosongkan kemudahan itu pada masa ketibaan pasukan itu,” menurut kenyataan itu.

Pasukan penilai PBB pula hanya mampu menghabiskan masa sejam di dalam hospital kerana faktor keselamatan.

Pasukan itu, kata WHO, menyifatkan hospital itu sebagai “zon kematian” dan keadaan sebagai “terdesak”.

“Tanda-tanda bedilan dan tembakan jelas. Pasukan itu melihat kubur besar di pintu masuk hospital dan diberitahu lebih 80 orang dikebumikan di sana,” kata kenyataan itu.

Kekurangan air bersih, bahan api, ubat-ubatan, makanan dan bantuan penting lain selama enam minggu telah menyebabkan hospital terbesar dan paling maju di Gaza pada dasarnya berhenti berfungsi sebagai kemudahan perubatan, kata WHO.

“Koridor dan kawasan hospital dipenuhi dengan sisa perubatan dan pepejal, meningkatkan risiko jangkitan.”

Antara pesakit yang masih berada di hospital ialah 32 bayi dalam keadaan sangat kritikal, kata WHO.

Terdapat juga dua orang dalam rawatan rapi tanpa pengudaraan, 22 pesakit dialisis terjejas teruk dan ramai mangsa trauma.

Menurut WHO, beberapa pesakit meninggal dunia dalam dua hingga tiga hari lalu disebabkan penutupan perkhidmatan perubatan.

Agensi kesihatan PBB itu berkata memandangkan keadaan hospital berkenaan, pasukan itu diminta memindahkan pekerja kesihatan dan pesakit ke kemudahan lain.

“Kami sedang bekerjasama dengan rakan kongsi untuk membangunkan pelan pemindahan segera dan berharap ia dipermudahkan,” kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus di X.

“Kami terus menyeru untuk perlindungan kesihatan dan orang awam,” katanya sambil mengeluh “keadaan semasa tidak boleh ditanggung lagi dan tidak wajar. Gencatan senjata. SEKARANG.”

WHO berkata misi tambahan akan dilakukan dalam tempoh 24 hingga 72 jam akan datang, menunggu jaminan laluan selamat untuk membantu membawa pesakit ke Kompleks Perubatan Nasser dan Hospital Gaza Eropah di selatan Gaza.

Ia menegaskan hospital berkenaan sudah beroperasi di luar kapasiti dan pesakit baharu itu akan lebih membebankan kakitangan dan sumber kesihatan yang sudah terbeban.

Israel berikrar memusnahkan Hamas selepas kumpulan pejuang itu melakukan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di dalam Israel pada 7 Oktober membunuh kira-kira 1,200 orang.

Kempen ketenteraan darat dan udara tanpa henti sejak itu telah membunuh 12,300 orang, kebanyakannya orang awam, termasuk lebih 5,000 kanak-kanak, menurut kerajaan Hamas yang telah memerintah Gaza sejak 2007. – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini