comscore
Tumpuan :
Dunia

ICJ benar 7 negara campur tangan kes genosid Gambia terhadap Myanmar

Foto: Reuters

LONDON: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Rabu memutuskan bahawa deklarasi campur tangan yang difailkan oleh tujuh negara dalam kes genosid yang dibawa oleh Gambia terhadap Myanmar boleh diterima.

Perintah ICJ secara sebulat suara menerima campur tangan itu, yang membolehkan negara-negara berkenaan menyumbang kepada prosiding dengan perspektif mereka mengenai tafsiran peruntukan Konvensyen Genosid, lapor Agensi Anadolu (AA).

Mahkamah juga mengisytiharkan campur tangan Maldives di bawah Artikel 63 Statut ICJ sebagai boleh diterima, membenarkan negara tersebut menangani penafsiran peruntukan Konvensyen Genosid.

ICJ turut menerima deklarasi campur tangan bersama di bawah Artikel 63 yang dikemukakan oleh Kanada, Denmark, Perancis, Jerman, Belanda, dan UK.

Dengan perintah itu, tujuh negara tersebut diberi kuasa, mengikut Artikel 86 Peraturan Mahkamah, untuk mengemukakan pemerhatian bertulis mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan campur tangan mereka.

ICJ akan memutuskan pada peringkat seterusnya sama ada negara-negara itu akan dibenarkan membentangkan pemerhatian mereka semasa prosiding lisan.

Kes itu yang dimulakan Gambia pada November 2019, menuduh Myanmar melakukan genosid terhadap penduduk Rohingya.

Kemasukan campur tangan itu menyerlahkan minat dan penglibatan masyarakat antarabangsa yang semakin meningkat dalam tafsiran undang-undang Konvensyen Genosid ketika mahkamah meneruskan kes penting itu.  — BERNAMA-ANADOLU

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini