comscore
Tumpuan :
Dunia

Industri muzik A.S. ambil tindakan undang-undang terhadap syarikat AI

Foto fail Reuters

LOS ANGELES:  Industri muzik Amerika Syarikat (AS) telah menyertai usaha untuk memastikan syarikat kecerdasan buatan (AI) bertanggungjawab atas pelanggaran hak cipta apabila syarikat rakaman utama memfailkan saman terhadap dua penjana lagu AI.

Kedua-dua kes itu difailkan Isnin — satu di mahkamah persekutuan di Boston terhadap Suno, Inc, pemaju Suno AI dan satu lagi di New York terhadap Uncharted Labs, Inc, pembangun Udio AI.

Plaintif dalam dua kes itu termasuk Sony Music Entertainment, Universal Music Group dan Warner Records, menurut aduan itu.

“Perkhidmatan tanpa lesen seperti Suno dan Udio yang mendakwa ia ’adil’ untuk menyalin hasil karya artis dan mengeksploitasinya untuk keuntungan mereka sendiri tanpa kebenaran atau bayaran, menghalang janji AI yang benar-benar inovatif untuk kita semua,” kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Industri Rakaman Amerika (RIAA) Mitch Glazier dalam satu kenyataan,  lapor Xinhua.

Kedua-dua kes memohon injunksi menghalang syarikat AI daripada melanggar hak cipta rakaman suara plaintif dan ganti rugi atas pelanggaran yang telah berlaku, menurut RIAA.

Teras tuntutan mahkamah berkisar tentang dakwaan penggunaan rakaman bunyi tanpa kebenaran untuk mencipta muzik baharu melalui algoritma AI.

Teknologi itu yang direka untuk meniru dan menjana muzik dalam gaya artis popular, telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemuzik, penulis lagu dan pengeluar mengenai perlindungan karya kreatif mereka dalam era digital.

RIAA berhujah bahawa dengan menggunakan rakaman itu tanpa pelesenan atau pampasan yang sewajarnya, Suno AI dan Udio AI menghalang artis daripada memperoleh pendapatan dan kawalan yang sah ke atas muzik mereka.

Industri muzik telah mendapat sokongan daripada tokoh utama dan organisasi yang menyokong perlindungan hak harta intelek.

Pesiden dan CEO Persatuan Muzik Bebas Amerika, Richard James Burgess berkata dalam satu kenyataan bahawa organisasinya bersatu dengan komuniti muzik untuk mempertahankan hak pencipta terhadap “entiti licik” yang bertujuan untuk “mencuri, menyalahgunakan dan mendapat keuntungan daripada kerja kehidupan penghibur dan penulis berbakat”.

Pada bulan Mac, Tennessee menjadi negara AS pertama yang meluluskan undang-undang untuk melindungi penulis lagu, penghibur dan profesional industri muzik lain terhadap potensi bahaya kecerdasan buatan. Rang undang-undang itu berkuat kuasa pada 1 Julai.

Pada April, lebih 200 artis menandatangani surat terbuka yang dikemukakan oleh Artist Rights Alliance, menyeru pemaju AI, syarikat teknologi, platform dan perkhidmatan muzik digital untuk berhenti menggunakan AI untuk melanggar hak artis individu.  – BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini