comscore
Tumpuan :
Dunia

Iran sasar US$1 bilion nilai dagangan tahunan dengan Arab Saudi

FOTO: Agensi

TEHRAN: Kementerian Hal Ehwal ekonomi dan Kewangan Iran pada Rabu memaklumkan bahawa Tehran menyasarkan untuk meningkatkan jumlah dagangan tahunan dengan Riyadh kepada US$1 bilion, di bawah langkah pertama menyambung semula hubungan ekonomi kedua-dua negara, lapor Xinhua.

Bercakap pada sidang akhbar di Tehran, Menterinya Ehsan Khandouzi berkata sasaran itu ditetapkan oleh Pertubuhan Penggalakan Perdagangan (TPO) Iran berdasarkan kapasiti kedua-dua negara.

Menteri itu berkata sejak beberapa hari lalu, TPO telah menyediakan pelan hala tuju untuk membangunkan hubungan ekonomi dengan Arab Saudi yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Khandouzi berkata, dewan perdagangan bersama juga dijangka dilancarkan memandangkan kedua-dua Iran dan Arab Saudi serius untuk menyambung semula interaksi dan kerjasama dua hala.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas, kedua-dua negara telah mengadakan sebanyak tujuh mesyuarat suruhanjaya ekonomi bersama dan bertukar-tukar 20 dokumen perdagangan dan kerjasama antara satu sama lain.

Kedua-dua negara tidak menjalankan perdagangan dua hala dalam beberapa tahun, namun di tengah-tengah usaha kedua-dua negara untuk meredakan ketegangan, nilai eksport Iran ke Arab Saudi mencecah US$ 15 juta pada tahun lepas.

Khandouzi berkata beliau akan melawat Arab Saudi dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Pada 10 Mac lepas, China, Arab Saudi, dan Iran mengumumkan kedua-dua negara itu mencapai persetujuan untuk menyambung semula hubungan diplomatik dan membuka semula kedutaan masing-masing dalam tempoh dua bulan.

Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada 2016 sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas misi diplomatik Saudi di Iran selepas kerajaan itu menghukum mati seorang ulama Syiah. – BERNAMA-XINHUA

Loading...
Terkini