comscore
Tumpuan :
Dunia

Serangan gas toksik: Lebih 100 pelajar perempuan di Iran dikejarkan ke hospital.

 

Pelajar sekolah dikejarkan ke hospital selepas terhidu gas bertoksik pada 27 Februari.

TEHRAN: Lebih 100 pelajar dimasukkan ke hospital di Iran selepas insiden serangan gas toksik yang disyaki dilakukan pihak tidak bertanggungjawab ke atas sekolah-sekolah perempuan.

Lapor AFP, setakat ini, beratus-ratus kes gangguan pernafasan dilaporkan dalam tempoh tiga bulan lalu dalam kalangan pelajar perempuan di seluruh Iran.

Pegawai kerajaan menyifatkan kejadian itu sebagai percubaan untuk memaksa penutupan sekolah perempuan.

Sekurang-kurangnya 10 buah sekolah perempuan menjadi sasaran dalam serangan terbaharu yang disyaki berlaku hari ini, tujuh daripadanya di bandar Ardabil di barat laut dan tiga lagi di ibu negara Tehran.

Insiden di Ardabil memaksa 108 pelajar dimasukkan ke hospital yang kesemuanya berada dalam keadaan stabil, kata agensi berita Tasnim, yang turut melaporkan keracunan berlaku di tiga sekolah di Tehran.

Memetik kenyataan ibu bapa, agensi berita Fars berkata, para pelajar di sebuah sekolah menengah di kejiranan barat ibu kota Tehransar terdedah kepada semburan toksik.

Fars berkata, pasukan keselamatan bertindak menahan tiga orang dalam tangkapan pertama berhubung kejadian berkenaan.

Jurucakap jawatan kuasa kesihatan Parlimen Iran, Zahra Sheikhi berkata, sejak tercetusnya keracunan misteri pada November tahun lalu, hampir 1,200 pelajar dikejarkan ke hospital kerana mengalami kesukaran bernafas.

Ujian kementerian kesihatan terhadap bahan yang ditemukan di sekolah di Qom mengesan kesan nitrogen yang digunakan terutamanya dalam baja, menurut laman web Parlimen itu.

Kejadian keracunan itu mencetuskan gelombang kemarahan di negara itu, di mana pengkritik mengecam sikap berdiam diri pihak berkuasa dalam menghadapi peningkatan bilangan sekolah yang terjejas. – AFP

 

Loading...
Terkini