comscore
Tumpuan :
Dunia

Kekurangan air bersih, penyakit, rakyat Palestin kini di ambang maut

Bangunan kediaman di Rafah, selatan Semenanjung Gaza musnah akibat serangan Israel. – FOTO: Reuters

GAZA CITY: Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) semalam memberi amaran lebih ramai penduduk di Semenanjung Gaza berisiko mati akibat kekurangan air bersih dan penularan penyakit.

“Pasukan UNRWA telah menghantar hampir 20 juta liter air kepada penduduk di Gaza,” kata agensi itu di X.

“Tetapi ia tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan. Tanpa air yang selamat, lebih ramai orang akan mati akibat kekurangan dan penyakit. Keadaan tidak berperikemanusiaan. Orang ramai bergelut untuk terus hidup tanpa sebarang asas,” menurut agensi itu yang dilaporkan Agensi Anadolu.

Dalam kenyataan lain di X, UNRWA berkata sebagai organisasi kemanusiaan terbesar di Semenanjung Gaza, mereka akan melakukan apa sahaja yang mungkin untuk meneruskan kerja-kerja kemanusian yang amat diperlukan untuk menyokong penduduk di Gaza.

Israel melancarkan serangan maut ke atas Gaza berikutan serangan 7 Oktober oleh kumpulan Palestin Hamas, membunuh sekurang-kurangnya 27,365 rakyat Palestin dan mencederakan 66,630 yang lain, manakala hampir 1,200 warga Israel dipercayai terbunuh dalam serangan Hamas.

Serangan berterusan Israel menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus infrastruktur di wilayah terkepung rosak atau musnah, menurut PBB. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini