comscore
Tumpuan :
Nasional

Masalah Kesihatan Mental Membimbangkan

 

PUTRAJAYA : Masalah kesihatan mental menunjukkan trend peningkatan dengan statistik individu yang mendapatkan sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) meningkat lima kali ganda berbanding 2020.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pada tahun lalu sebanyak 212,319 panggilan diterima oleh MHPSS berbanding pada tahun sebelumnya dengan 44,061 panggilan.

“Justeru, bagi memudahkan orang ramai mengakses MHPSS ini, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menambahbaik perkhidmatan berkenaan dengan mewujudkan talian lima digit, atau dikenali sebagai Talian HEAL 15555.

“Talian ini akan mula beroperasi pada 21 Oktober secara berperingkat bermula dengan pengguna telekomunikasi TM dan Unifi Mobile. Pengguna juga boleh mengakses Talian Heal melalui talian kecemasan 999 dan operator akan menyambungkan ke talian 15555,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai permasalahan kesihatan mental di negara ini, Khairy berkata di Malaysia isu itu turut mengaitkan tingkah laku bunuh diri.

“Tingkah laku bunuh diri ini menunjukkan kadar membimbangkan dan peningkatan ketara iaitu sebanyak 81 peratus pada tahun 2021 (1,142 kes) berbanding dengan 631 kes yang dilaporkan pada tahun 2020.

“Talian ini satu daripada inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan. Sehubungan itu, KKM menyambut baik komitmen kerajaan untuk memperuntukkan RM34 juta bagi pusat kecemerlangan berkenaan melalui Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu,” katanya.

Khairy berkata, masalah kesihatan mental antara isu kesihatan awam yang menjadi semakin penting dan perlu menumpukan usaha untuk menggalakkan gaya hidup sihat serta mengesan, mencegah dan bertindak balas terhadap wabak atau jangkitan penyakit.

“Bagaimanapun, isu kesihatan mental sering menjadi antara punca utama yang menjejaskan kesejahteraan fizikal dan sosial seseorang individu. Hal ini menjadikan penjagaan kesihatan mental amat penting untuk mencapai matlamat kesihatan awam.

“Namun antara cabaran utama dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan mental adalah jurang di dalam aspek pembiayaan kesihatan mental.

“Ketidakseimbangan yang wujud menyebabkan individu mengalami gangguan kesihatan mental tidak mendapat rawatan sewajarnya.

“Menyedari hakikat ini dan kepentingan untuk Keluarga Malaysia memiliki kesejahteraan dan kesihatan mental, kerajaan dalam pengumuman Bajet 2023 memperuntukkan sebanyak RM413.58 juta untuk Program Kesihatan Mental dan Psikiatri, iaitu peningkatan sebanyak 2.42 peratus berbanding tahun ini,” katanya.

Beliau menambah, KKM akan terus komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan mental yang terbaik kepada Keluarga Malaysia melalui fasiliti kesihatan termasuk 60 hospital; 1,161 klinik kesihatan dan 35 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat.

“Kerjasama di antara pihak kerajaan, NGO dan komuniti perlu diperkukuhkan bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan mental diri sendiri, ahli keluarga dan masyarakat dapat dicapai.

“Sebagai menyokong usaha secara bersama ini, sejumlah peruntukan dana sebanyak RM6.2 juta turut diagihkan kepada NGO kesihatan mental yang bergiat aktif dalam melaksanakan advokasi kesihatan mental.

“Usaha ini diharap dapat menambahbaik tahap literasi dan memperkasakan masyarakat serta keluarga untuk membantu individu yang mempunyai masalah kesihatan mental mendapatkan rawatan dan bantuan yang sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kadar kemurungan dan keresahan di peringkat global meningkat lebih daripada 25 peratus pada tahun pertama pandemik COVID-19, iaitu pertambahan kepada hampir satu billion individu yang sedia ada mengalami gangguan kesihatan mental.

“Justeru, Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut setiap 10 Oktober itu dapat meningkatkan kesedaran kesihatan mental di seluruh dunia.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini