comscore
Tumpuan :
Dunia

Keputusan ICJ: Penduduk Palestin luah rasa kecewa

Foto fail Reuters

RAMALLAH: Rakyat Palestin meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana gagal melaksanakan gencatan senjata di Gaza.

Pada prosiding yang disiarkan secara langsung di seluruh dunia Arab dan di Israel, ICJ mengarahkan Israel menghentikan sebarang tindakan pembunuhan beramai-ramai (genosid) terhadap rakyat Palestin dan membantu lebih ramai orang awam yang menderita.

Bagaimanapun, ia tidak mengarahkan gencatan senjata seperti yang diminta oleh Afrika Selatan, yang memfailkan kes itu.

Sebelum ini, Afrika Selatan meminta ICJ memberikan langkah kecemasan untuk menghentikan pertempuran berikutan lebih 26,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel, menurut pihak berkuasa di Gaza yang dikendalikan Hamas.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengalu-alukan keputusan ICJ untuk tidak mengarahkan gencatan senjata tetapi menolak dakwaan genosid sebagai keterlaluan dan Israel akan terus mempertahankan dirinya selain berusaha mengelak korban awam.

Walaupun keputusan itu memusnahkan harapan Palestin terhadap perintah mengikat untuk menghentikan perang, ia juga mewakili kemunduran undang-undang bagi Israel, yang berharap untuk membuang kes yang dibawa di bawah konvensyen pembunuhan beramai-ramai yang ditubuhkan selepas Holocaust.

Sementara itu, Perdana Menteri, Mohammad Shtayyeh dari Pihak Berkuasa Palestin yang berpangkalan di Tebing Barat berkata, keputusan ICJ amat mengecewakan rakyat Palestin yang inginkan gencatan senjata segera.

“Keputusan semalam tanpa sebarang hukuman dan tidak meletakkan Israel di kandang tertuduh sebagai penjenayah perang.

“Mahkamah tidak memutuskan pada peringkat ini mengenai teras kes yang dibawa oleh Afrika Selatan sama ada pembunuhan beramai-ramai berlaku di Gaza,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini